Pelajar universiti galak keganasan ditangkap

HONG KONG, 18 OGOS – Polis menahan empat pemimpin pelajar universiti terkemuka hari ini selepas didapati menggalakkan keganasan.

Superintenden Kanan dari Unit Keselamatan Nasional, Steve Li, berkata mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 20 tahun itu adalah ahli kesatuan mahasiswa dan majlis kesatuan pelajar.

Katanya, mereka ditahan susulan kenyataan kontroversi kesatuan pelajar berhubung insiden serang solo (lone wolf) terhadap seorang pegawai polis bulan lalu.

Pada 1 Julai lalu, seorang lelaki menikam seorang anggota polis di pusat beli-belah sebelum bertindak menikam dirinya sendiri sehingga mati dan disifatkan pihak berkuasa sebagai keganasan domestik.

Selepas serangan itu, kesatuan mahasiswa Universiti Hong Kong (HKU) mengeluarkan kenyataan melahirkan rasa sedih mereka di atas kematian penyerang terbabit dan ‘menghargai pengorbanannya’.

Kenyataan tersebut menimbulkan kontroversi walaupun kesatuan mahasiswa menarik balik dan memohon maaf atas kekhilafan mereka.

“Kenyataan itu jelas sekali meraikan, menyokong dan mengangkat keganasan serta serangan tidak bertanggungjawab dan menggalakkan perbuatan bunuh diri,” kata Li kepada wartawan. – AFP