Pelajar UTB menang pertandingan video

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Dua orang pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah memenangi pertandingan video mengenai kesedaran keselamatan siber yang dianjurkan oleh Information Technology Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) dan Creative Computing Programme Area Universiti Teknologi Brunei.

Tempat pertama dimenangi oleh Dayang Nurul Rina Haryantie binti Abdullah dengan video bertajuk ‘Oversharenting’, yang memaparkan bahaya oversharenting, satu tabiat di mana ibu bapa berkongsi terlalu banyak maklumat mengenai anak-anak mereka di media sosial.

Tempat kedua dimenangi oleh Awang Mohamad Haziq Wa’ie bin Husaini dengan video mengenai ‘Technoference’, satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan gangguan berpunca daripada peranti teknologi semasa komunikasi antara perorangan.

Daripada 10 penyertaan, pemenang telah dipilih berdasarkan kreativiti, kualiti video dan kejelasan pesanan berkaitan dengan keselamatan siber serta isu keselamatan dalam talian.

Hadiah berupa wang tunai dan tiket pawagam telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Maklumat ITPSS, Awang Azman Iskandar bin Ariffin. Turut hadir adalah Pemimpin Creative Computing Program Area UTB, Haji Idham Maswadi bin Haji Mashud dan pensyarah UTB.

Selain itu, video mereka akan disiarkan oleh BruCERT dalam iklan televisyen tempatan, iklan panggung wayang dan dipamerkan dalam akaun media sosial BruCERT.

Pertandingan merupakan tahun ketiga anjuran ITPSS, dalam peranannya sebagai Kumpulan Respons Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) bersama UTB dengan matlamat untuk mewujudkan kesedaran keselamatan siber yang lebih baik dengan membabitkan belia Brunei, memupuk kreativiti serta memberikan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat mereka.

BruCERT ialah agensi rujukan nasional yang berurusan dengan keselamatan berkaitan komputer dan Internet di Brunei Darussalam.

Ia terbabit dalam inisiatif kesedaran awam, memaparkan ancaman Internet, keselamatan siber dan memberikan nasihat mengenai keselamatan maklumat peribadi. BruCERT menawarkan ceramah kesedaran keselamatan siber untuk sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara, dan menganjur rancangan radio Cyber Safe di Pilihan FM RTB.

Awang Azman Iskandar (tiga dari kanan) dan Haji Idham Maswadi (dua dari kiri) bergambar bersama pemenang pertandingan.