Pelajar Vietnam mula sekolah selepas 3 bulan cuti virus

HANOI, 4 MEI – Berjuta-juta kanak-kanak sekolah di Vietnam kembali ke kelas mereka hari ini selepas negara itu tidak ada melaporkan jangkitan koronavirus selama 17 hari berturut-turut.

Keputusan untuk membuka semula sekolah muncul selepas negara Asia Tenggara itu melonggarkan langkah penjarakan sosial pada akhir April – dengan pakar-pakar menekankan respons muktamad melibatkan kuarantin besar-besaran dan pengesanan kontak meluas atas kejayaannya dalam membendung penyakit itu.

Di sebuah sekolah di barat Hanoi, para pelajar di peringkat menengah berbaris tenang semasa suhu badan mereka diperiksa sebelum masuk ke bilik kelas mereka buat pertama kali sejak lebih tiga bulan.

“Saya sangat gembira dan teruja kerana sangat bosan asyik terperuk di rumah,” kata Pham Anh Kiet berusia 11 tahun.

“Saya rasa selamat ketika memakai penutup hidung dan muka dengan suhu diperiksa, saya tidak takut jika dijangkiti virus,” tambahnya, sebelum menyentuh sekilas rakannya.

Tran Dang Ngoc Anh, 12, berkata dia sangat merindui rakan-rakan dan juga guru-gurunya serta amat teruja dapat belajar di sekolah semula – meskipun sedikit bimbang dengan pemakaian ‘penutup hidung dan mulut dalam bilik kelas’.

Sekitar 22 juta kanak-kanak sekolah dan pelajar universiti di seluruh Vietnam. Namun universiti-universiti telah mula dibuka satu persatu.

Vietnam telah merekodkan hanya 271 kes virus dengan sifar kematian, menurut jumlah rasmi pada Ahad. – AFP

Para pelajar memakai penutup hidung dan mulut berbaris semasa suhu badan mereka diperiksa di sekolah Marie Curie di Hanoi pada 4 Mei. – AFP