Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
“Kesihatan memainkan peranan penting, tanpa kesihatan tidak mungkin akan mencapai tahap semaksimal mungkin yang kami persembahkan,” kongsi juara qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M, Awang Mohammad bin Ali.
Bercakap mengenai perbezaan persiapan berbanding dengan pertandingan sebelum-sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa ianya tidak begitu berbeza dan sebenarnya sama sahaja tertakluk kepada kesihatan semasa pertandingan berlangsung kerana kesihatan memainkan peranan penting di mana tanpa kesihatan yang baik tidak mungkin akan mencapai tahap semaksimal mungkin yang mereka persembahkan.
Sebelum pertandingan berlangsung, sudah setentunya persiapan perlu dibuat bagi memberikan persembahan yang berkualiti semasa pertandingan, ujarnya lagi semasa ditemu bual baru-baru ini. Bagi Awang Mohammad, beliau telah membuat latihan-latihan tertentu secara persendirian sama ada di rumah mahupun kadang-kadang dengan kawan-kawan dan guru-guru tempatan yang memang berkemahiran dan pakar dalam Al-Quran.
“Di samping itu, sebelum pertandingan, pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama ada mengadakan bengkel yang mendatangkan qari dan qariah tertentu dari negara luar sebagai persiapan kami menghadapi pertandingan ini,” kongsinya.
Awang Mohammad telah mula terlibat dalam mengikuti musabaqah peringkat dewasa tersebut sejak 2004 lagi, dan ini merupakan kali pertama bagi beliau untuk memenangi pertandingan peringkat kebangsaan.



“Sebelum ini, pada tahun 2013, saya pernah mendapat tempat ketiga anjuran universiti di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), tahun berikutnya di Jakarta mendapat tempat ketiga, dan yang terkini di Moscow, Rusia menjadi johan pada tahun 2015,” katanya.
Awang Mohammad turut menasihatkan kepada mereka-mereka yang ingin mengikuti bukan sahaja untuk bertanding tetapi juga untuk belajar Al-Quran itu sebagaimana dengan saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berlangsungnya Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M yang sering menyeru kepada kita supaya belajar Al-Quran bukan sahaja untuk bertanding malah untuk diri sendiri.
Beliau yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Arab Rimba turut berkongsi bagaimana beliau meluangkan masa antara berlatih sebagai seorang qari dan juga mengajar sebagai seorang guru.
“Kalau waktu kerja, memang fokus dengan pekerjaan. Di samping itu juga jika ada masa lapang mengambil kesempatan berbual-bual dengan rakan-rakan yang berkaitan dengan Al-Quran. Manakala di luar waktu kerja, bersama kawan-kawan berlatih di rumah dan sebagainya,” kongsi Awang Mohammad.
Manakala johan qariah bagi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki semasa ditemu bual berkongsi rasa syukurnya ke hadrat Allah SWT di atas segala rezeki dan perasaan gembira kerana segala yang diusahakan selama ini membuahkan hasil.
Dayangku Siti Ummi Syazana juga turut berkongsi kunci kejayaannya selaku johan qariah. “Pertama sekali untuk tidak sentiasa berasa selesa dengan apa yang sudah diperoleh. Yang kedua sentiasa berguru kepada yang lebih berpengalaman daripada kita, jangan selalu rasa cukup dengan apa yang kita ada, sentiasa gali lagi ilmu Al-Quran itu. Yang ketiga sentiasa mengamalkannya Insya Allah untuk mendapatkan keredaan Allah SWT jua,” kongsinya.
“Sebelum ini, saya ada memenangi tempat pertama pada Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Belia Asia Tenggara yang berlangsung pada bulan Disember 2019,” kongsi Dayangku Siti Ummi Syazana.
Selain itu, beliau juga ada mengikuti beberapa pertandingan, pernah mewakili negara ke Kuala Lumpur bagi negara-negara MABIMS, ini merupakan kali ketiga menyertai pertandingan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan, di mana kali pertama beliau mengikutinya ialah pada tahun 2018.
“Saya mula mengikuti pertandingan sewaktu saya berusia 9 tahun dalam bahagian sekolah agama, kemudiannya sekolah menengah, diikuti peringkat belia, dan kemudiannya Alhamdulillah ke peringkat dewasa,” katanya.
Beliau berharap di masa akan datang untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang Al-Quran bukan sahaja dalam bidang taranum tetapi bahagian Al-Quran secara keseluruhannya. Selain itu juga, beliau berharap sentiasa berusaha untuk menambahbaikkan lagi bacaan.




























