Pelajari pertanian daripada perspektif Islam

Oleh Yusrin Junaidi

TUTONG, 9 Jan – Rombongan seramai 32 orang pelajar Tahun 3 dan 4 dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan lawatan ke Ladang Cili Syarikat ECO Nadi Agrobiz di kawasan Kemajuan Pertanian, Kampung Sinaut, Tutong bagi memahami mengenai pertanian daripada perspektif Islam.

Turut hadir semasa lawatan yang dikendalikan oleh Persatuan Pelajar Ekonomi dan Kewangan Islam (iFESS) itu ialah Pemangku Dekan FEKIm, Dr Mohammad Zaki bin Haji Zaini dan pensyarah FEKIm lainnya.

Syarikat ECO Nadi Agrobiz yang mula beroperasi pada 2014, diusahakan oleh salah seorang pengusaha pertanian tempatan yang berjaya, Haji Muhd Ayub bin Haji Suhaili.

Semasa lawatan itu, Haji Ayub menerangkan serba sedikit mengenai pertanian daripada perspektif Islam dan seterusnya menerangkan cara penanaman pokok cili menggunakan sistem fertigasi yang mudah dilakukan di kawasan luar rumah.

Beliau juga membuat tunjuk ajar penanaman yang dimulakan dengan pemasangan sistem fertigasi kemudiannya memindah anak pokok cili di atas batas.

Pelajar UNISSA mencuba sendiri menanam cili.

Para peserta kemudiannya dibawa menyaksikan cara membuat arang daripada sekam dan kayu atau biomas yang digunakan untuk menanam anak pokok cili.

Dalam lawatan tersebut, Haji Ayub menyeru para belia yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian agar merebut peluang yang ada dan memulakan apa saja jenis tanaman walaupun bermula secara kecil-kecilan di rumah masing-masing.

Dengan tekad dan azam yang kuat, penanaman secara kecil-kecilan ini akan semakin mem-besar sehingga mampu diusahakan ke tahap skala komersial.