Pelajari pertolongan cemas secara maya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Dalam keadaan Negara Brunei Darussalam dilanda penularan wabak COVID-19, program-program dan kursus kecemasan (first aid) adalah amat penting untuk diketahui kerana ia dapat membantu semasa musim penularan pandemik ini.

Sehubungan itu, MAED Consultation and Training Company yang ditubuhkan pada 2019, menawarkan beberapa program dan kursus pertolongan cemas.

Didaftar di bawah Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan ahli Alumni SHELL LiveWIRE Business Network, syarikat berkenaan menyediakan kursus Latihan Pertolongan Cemas dan Konsultan HSE.

Pengasas dan pengarah urusan syarikat berkenaan, Irwati Abdul Gafur ketika dihubungi berkata, sejak gelombang kedua ini, kursus diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom dan akan menggabungkan penggunaan realiti tambahan yang sedang dalam perancangan.

Menyentuh mengenai dengan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) COVID-19, beliau berkata, syarikat berkenaan telah mengubah tatacara penyampaian kursus secara dalam talian di mana peserta akan diberikan patung dan peralatan pertolongan cemas di rumah masing-masing untuk membolehkan para peserta lebih memahami latihan praktikal pertolongan cemas.

Mengulas mengenai penggunaan realiti tambahan, beliau berkata bahawa syarikatnya bersiap sedia mengguna sistem itu apabila Negara Brunei Darussalam memasuki fasa endemik nanti.
“Wabak covid-19 telah membuka mata kita untuk melihat metodologi pengajaran seperti menggabungkan penggunaan pendigitalan moden khasnya penggunaan augmented reality dengan cara kami mengendalikan latihan,” ujarnya lagi.

MAED Consultation and Training Company akan menganjurkan kursus secara talian pada Disember depan dengan penyertaannya setakat ini agak menggalakkan.

Kursus latihan pertolongan cemas yang dikendalikan MAED Consultation and Training Company secara dalam talian.