Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelajari teknik berdikir dengan betul

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Kumpulan Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Kampung Jerudong dan Kumpulan Masjid Kampung Bang Dalam, Tutong, masing-masing muncul juara dalam kategori lelaki dan perempuan Pertandingan Dikir Syarafil Anam bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Masjid Senegara sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1442H/2020M.

    Manakala itu, Kumpulan Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, dan Masjid Sufri Bolkiah, Kampung Burung Pingai Berakas, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga kategori lelaki.

    Bagi kategori perempuan, tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Masjid Kampung Mentiri dan Kumpulan Masjid Mohammad Jamalul Alam, Belait di tempat ketiga.

    Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada pertandingan yang berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji lbrahim selaku tetamu kehormat majlis.

    Sebanyak 17 pasukan, lapan pasukan lelaki dan sembilan pasukan perempuan, berentap dalam pertandingan tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalul Bahagian Imarah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Mohamed Bolkiah.

    Haji Mohammad Rosli menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada pertandingan yang berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah kelmarin. – Gambar serahan JHEM

    Pengumuman keputusan pertandingan telah dibuat oleh Pengerusi Hakim, Haji Musim bin Haji Abdul Razak. Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan daripada johan pasukan dikir.

    Pertandingan antara lain bertujuan untuk memberikan bimbingan dan pendedahan serta memberikan peluang kepada para peserta untuk mempelajari teknik atau kaedah berdikir yang betul agar mampu mempersembahkan Dikir Brunei dan Dikir Syarafil Anam dengan baik dan sempurna.

    Selain itu memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Brunei dan Dikir Syarafil Anam dari segi Fashahah, lagu dan suara.

    Acara berkenaan juga bertujuan bagi menggalakkan para peserta supaya akan terus mempelajari dan menguasai lagu-lagu dikir agar dapat menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara keagamaan.

    Pertandingan ini juga dihasratkan untuk menggalakkan para peserta sentiasa mengamalkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW supaya menjadi amalan harian dan beroleh berkat daripadanya sekali gus memeriahkan dan membesarkan lagi suasana sambutan Maulidur Rasul SAW.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda