Pelakon 001 Squid Game tolak tawaran duta ayam goreng

Drama Korea Selatan berjudul Squid Game menerima populariti luar biasa di seluruh dunia.

Para pelakonnya pula menerima peningkatan jumlah pengikut yang mendadak di laman sosial. Malah pelakon 001, Oh II-nam yang dilakonkan oleh pelakon veteran Oh Young-soo (gambar) turut mendapat tempias populariti. Aktor berusia 76 tahun itu membawa watak sebagai pemain yang baik hati dan menganggap pemain 456 (Lee Jung-Jae) sebagai gganbu atau kawan baik.

Warganet mencadangkan sebuah syarikat ayam goreng Korea Selatan, Kkanbu Chicken untuk mengambil Oh sebagai jurucakap syarikat itu. Namun, laman hiburan Sports Chosun melaporkan bahawa syarikat itu ada menghubungi pelakon veteran itu untuk membintangi iklannya tetapi ditolak. “Dengan hormatnya, kami telah menyuarakan niat kami untuk merakam iklan bersamanya tetapi Oh Young-soo berkata ‘sebagai pelakon, apa yang saya ingin lakukan adalah kekal dengan pekerjaan saya,’” kata jurucakap Kkanbu. Oh sudah menceburi bidang hiburan lebih 58 tahun dan membintangi kira-kira 200 buah filem, drama, dan pementasan. – Agensi