Sitkom popular 90an, Friends akan tampil dengan Friends: The Reunion yang bakal ditayangkan serentak di seluruh dunia hari ini.
Keakraban hubungan keenam-enam pelakon utamanya iaitu Jennifer Aniston, Courteney Cox, Lisa Kudrow, Matthew Perry, Matt LeBlanc dan David Schwimmer membuatkan peminat sitkom itu tertanya-tanya di antara mereka adakah yang pernah menjalinkan hubungan istimewa sebelum ini.
Matthew, 52, yang melakonkan watak Chandler Bing mendedahkan yang mereka mempunyai peraturan yang mana melarang masing-masing jatuh cinta di antara satu sama lain.
“Kami ada peraturan yang mana ia sangat penting untuk kami berenam… kami hanya akan berhubungan sebagai kawan baik sahaja.
“Kalau ada di antara kami yang bercinta dan tiba-tiba putus, ia akan menimbulkan suasana tidak baik yang akan menjejaskan hubungan persahabatan kami semua.
“Disebabkan kami berpegang teguh pada prinsip itu, kami masih kekal bersahabat baik sehingga ke hari ini!” kata Matthew. – Agensi
