Pelakon Korea bakal bintangi filem Hollywood

Dua pelakon popular Korea iaitu Son Ye Jin dan Lee Sun Gyun menerima tawaran untuk membintangi filem Hollywood berjudul Cross.

Menerusi laporan Celebrity Okezone, berita gembira itu telah disahkan sendiri oleh agensi kedua-dua pelakon baru-baru ini. “Son Ye Jin sedang mempertimbangkan tentang filem itu, buat masa ini kesannya baik… jika tiada sebarang perubahan, Son Ye Jin akan menerima tawaran berkenaan,” kata MS Team Entertaiment.

Sementara itu, agensi HODU&U Entertaiment yang menguruskan Lee Sun Gyun memberitahu mereka masih memikirkan mengenai tawaran tersebut. “Aktor kami dapat tawaran dari Cross tapi ketika ini masih menilai peluang tersebut dan buat masa ini belum ada keputusan muktamad,” ujarnya.

Jika kedua-dua bintang ini bersetuju menerima tawaran tersebut, mereka bakal bergandingan dengan Sam Worthington yang terkenal menerusi filem Avatar dan Clash of the Titans.

Difahamkan filem ini akan diarahkan oleh Andrew Niccol dan bakal memulakan penggambaran di Korea Selatan pada Mac tahun depan.

Sumber mendedahkan, Andrew tertarik untuk bekerjasama bersama pelakon Korea Selatan selepas mengadakan kunjungan awal tahun lalu.

Dia sendiri dikatakan menghubungi aktres drama Crash Landing on You itu dan menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dalam projek terbaharu berkenaan. – Agensi

Son Ye Jin dan Lee Sun Gyun menerima tawaran untuk membintangi filem Hollywood berjudul Cross. – Agensi