Pelakon perlu kumpul 1 juta pengikut tidak masuk akal

Pelakon Raja Ilya, 36, menyifatkan syarat pelakon perlu memiliki sejuta pengikut di media sosial adalah sangat tidak masuk akal dan ada keburukannya.

Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad berkata, ketetapan begitu hanya menggalakkan segelintir pelakon ‘membeli’ pengikut demi mencukupkan angka sejuta itu.

“Tahu tak zaman ini berapa banyak akaun media sosial yang ada pengikut palsu dan boleh dibeli begitu saja? Nak sejuta pengikut, tak payah jadi Datuk atau pelakon pun. Bukan siapa-siapa pun boleh beli. “Apa yang kamu nak sebenarnya? Nak yang betul, ada kemahiran, bakat, bertahan lama dalam industri, menang banyak anugerah atau pengikut berjuta-juta?

“Disebabkan syarat ini, ramai yang akan mula membeli ‘followers’ palsu semata-mata untuk pastikan mereka dapat masuk di stesen TV” katanya. Pelakon filem KL Vampires itu berpendapat, kesan daripada tindakan sebegitu lebih memudaratkan industri seni tempatan.

“Lagilah memalukan! Tak perlulah mengikut sangat apa yang orang lain buat. Daripada tengok pengikut, lebih baik tengok pengikut dalam stesen TV masing-masing. Contohnya drama atau filem mereka buat. Apa maklum balas atau ‘rating’. Bukan semuanya yang dari media sosial betul, kadang-kadang 90 peratus daripadanya tipu,” katanya. – Agensi

Raja Ilya menyifatkan syarat pelakon perlu memiliki sejuta pengikut di media sosial sangat tidak masuk akal. – Agensi