Sunday, December 4, 2022
25.9 C
Brunei

-

Pelakon RINA 2 bertemu dengan peminat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Berikutan pelancaran filem terbitan bersama Negara Brunei Darussalam dan Laos ‘Ada Apa Dengan Rina 2’ (RINA 2), para pelakonnya telah mengadakan sesi bertemu peminat yang diadakan di Times Cineplex, Times Square, di sini, semalam.

Filem yang mula ditayangkan di cawangan Times Cineplex, Times Square, Tutong dan KB Sentral itu mengambil peluang untuk para pelakon utamanya yang terdiri daripada Syukri Mahari, Tauffek Illyas, Haji Yahya Haji Beruddin dan pelakon Laos, Khouannakhone Souliyabapha bersua muka bersama para peminatnya.

Menurut Pengurus Syarikat Regalblue Production, Dayang Nurain Abdullah memberitahu pihak media, sesi bertemu peminat ini antara lain bertujuan untuk memberi dan menyampaikan penghargaan kepada para peminat yang menonton filem tersebut.

Dayang Nurain juga menjelaskan bahawa Khouannakhone hanya akan berada di negara ini sehingga hari ini, namun sesi bertemu peminat akan diteruskan bersama tiga pelakon utama yang lain, di mana bagi Daerah Belait pada 29 Julai jam 8:45 malam dan Daerah Tutong pada 30 Julai jam 8:45 malam.

Khouannakhone dalam temu bual menjelaskan kegembiraannya berada di negara ini dan seterusnya berjanji untuk kembali lagi ke negara ini.

Sebahagian peminat yang menyaksikan Filem RINA 2 sempat mengabadikan gambar kenangan bersama para pelakon utamanya.
Sebahagian peminat yang menyaksikan Filem RINA 2 sempat mengabadikan gambar kenangan bersama para pelakon utamanya.

“Saya belajar banyak perkara bersama warga kerja Regalblue Production dan banyak bertukar-tukar pendapat dan pengalaman bersama seperti budaya, makanan dan banyak lagi, saya mencintai Brunei,” ujar Khouannakhone yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini. Penduduk di negara ini tambahnya lagi sangat manis dan baik hati, terutama kanak-kanak, “Saya suka cara mereka menyampaikan ‘helo’ dan banyak lagi, di sinilah saya merasakan ketenangan dan damai.”

RINA2 merupakan filem susulan dari filem ‘Ada Apa Dengan Rina’ yang diterbitkan pada tahun 2013 yang mendapat sambutan hangat daripada penonton Brunei dan telah diundang ke-17 festival filem antarabangsa termasuk festival filem di Korea, Jeddah, Switzerland, Itali dan negara-negara ASEAN.

Penerbitan filem ini juga berhasrat untuk merealisasikan projek penerbitan filem kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Laos untuk meneruskan lagi perkembangan industri perfileman di kedua-dua buah negara, mengongsikan peruntukan, mengumpul bakat seni dan sama-sama meluaskan lagi pemasarannya.

Filem RINA 2 ini juga diharap akan menjadi duta kebudayaan dalam mengenalkan Brunei dan Laos ke persada dunia.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -