Pelaksanaan de-escalation tahap ke-4 bagi 100 peratus kapasiti

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perlaksanaan pelan de-escalation tahap keempat bagi pusat dan fasiliti sukan akan bermula pada 27 Julai ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan di bawah pelan de-escalation tahap keempat ini, pengemaskinian syarat-syarat dan garis panduan bagi penggunaan pusat dan fasiliti sukan adalah seperti pusat-pusat gim, pusat kecergasan, fasiliti sukan tertutup dan luar yang akan beroperasi semula dengan 100 peratus kapasiti, aktiviti sukan beregu dan sukan yang tidak melibatkan kontak adalah dibenarkan serta tempoh penggunaan fasiliti tidak dihadkan dalam satu masa.

“Sukan berpasukan adalah dibenarkan namun hendaklah tidak melebihi 10 orang pemain yang hanya menjalani program latihan sahaja, walau bagaimanapun bagi sukan berkumpulan seperti perlawanan bola sepak, bola keranjang, hoki dan sebagainya adalah masih ditegah,” jelasnya.

Selain itu aktiviti yang melibatkan kontak fizikal dan perkongsian peralatan adalah dibenarkan secara minimum, sukan kontak adalah pula hanya bagi menjalani sesi latihan sahaja dan tidak melibatkan latihan bertinju.

Manakala bagi sukan boling 10 pin adalah dibenarkan dengan syarat hanya empat pengguna sahaja bagi setiap lorong, penggunaan house ball dan house shoe dibolehkan dan tempoh penggunaan tidak dihadkan.

Bagi padang golf dan clubhouse pula dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya dan penggunaan kenderaan bugi yang sebelum ini hanya sebuah setiap orang, kini boleh digunakan dua pengguna pada satu masa.

Pelaksanaan pelan de-escalation tahap keempat ini hanya tertakluk kepada pusat-pusat dan fasiliti sukan sahaja.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menjelaskan mengenai perlaksanaan pelan de-escalation tahap keempat bagi pusat dan fasiliti sukan, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan