Pelaksanaan kerja-kerja pembaikan paip, jalan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan hari ini mengumumkan beberapa pelaksanaan kerja-kerja pembaikan paip dan penutupan sebahagian jalan raya di beberapa kawasan.

Bagi kerja-kerja kecemasan pembaikan paip air, ia dilaksanakan di Jalan Utama Mentiri berdekatan bangunan Majlis Mesyuarat Negara meliputi kawasan Kampung Sungai Akar, Pusat Dakwah Islamiah, Jalan Kebangsaan, kawasan diplomatik (Diplomatic Enclave) serta sekitarnya.

Sehubungan itu, bekalan air ke kawasan terbabit akan berkurangan sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dan memberi jaminan bahawa langkah-langkah segera dibuat untuk mengembalikan semula bekalan air seperti biasa.

Sementara itu, JKR juga akan menutup sementara jalan sepanjang Jalan Subok bermula dari Bangunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri sehingga simpang menuju ke Jalan Residency pada 11 dan 13 September ini bermula 8 pagi bagi kerja-kerja pemotongan pokok sepanjang jalan itu.

Ia akan dibukakan semula sebaik sahaja kerja-kerja pemotongan selesai dilaksanakan dan orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Kianggeh serta berhati-hati melalui jalan tersebut jika perlu menggunakannya.

Dalam pada itu, sebahagian Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien berdekatan persimpangan lampu isyarat Bangunan Alat Kebesaran Diraja di ibu negara juga akan ditutup bagi kerja-kerja pemeliharaan perkhidmatan dikendalikan UNN.

Ia akan dibuka semula sebaik sahaja kerja-kerja selesai dijalankan dan orang ramai juga dinasihatkan untuk berwaspada.