Pelaksanaan peraturan-peraturan baharu di tempat kerja

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi perlaksanaan peraturan-peraturan baharu iaitu Workplace Safety and Health (First-Aid) Regulations, 2021 dan Workplace Safety and Health (General Provisions) (Amendment) Regulations, 2021.

Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 memaklumkan perkara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan menjelaskan, Workplace Safety and Health (First-Aid) Regulations, 2021 mengandungi peraturan-peraturan yang memerlukan setiap tempat kerja dikehendaki untuk mempunyai jumlah bilangan peti pertolongan cemas yang mencukupi dan berada dalam keadaan baik.

Selain itu, peraturan tersebut juga mengehendaki supaya tempat-tempat kerja yang mempunyai lebih 25 orang pekerja atau menjalankan pengendalian mesin mahupun peralatan dan bahan-bahan berbahaya yang telah disenaraikan di bawah perintah ini, akan dapat melantik perawat pertolongan cemas.

Mereka yang dilantik itu hendaklah telah menjalankan latihan rawatan pertolongan cemas berdasarkan nisbah seorang perawat bagi setiap 50 orang pekerja di tempat kerja.

Di samping itu, peraturan itu juga menguatkuasakan keperluan untuk menyediakan bilik pertolongan kecemasan yang bersesuaian bagi tujuan rawatan kecemasan di tempat kerja yang mempunyai lebih 100 pekerja dari semasa ke semasa.

Penghuni tempat kerja juga hendaklah memastikan bahawa ada kemudahan sesuai yang disediakan untuk rawatan kecemasan di mana-mana tempat kerja yang boleh terdedah kepada bahan-bahan beracun dan penghakisan.

Sementara itu, Workplace Safety and Health (General Provisions) (Amendment) Regulations, 2021 pula mengandungi pindaan yang berhubung kait dengan pengendalian bahan-bahan berbahaya, yang menjadi kewajipan kepada penghuni tempat kerja untuk memastikan kontena-kontena yang menyimpan bahan-bahan berbahaya supaya ditampal dengan label amaran selain dilengkapi dengan maklumat kelas-kelas dan kandungan jenis-jenis bahan berbahaya.