Pelaksanaan projek Jalan Kuching-Serian memuaskan

KUCHING, 28 SEPT – Projek Naik Taraf Jalan Kuching-Serian (KSR) sepanjang 8.1km di antara Batu 10 (Km 16) dan Batu 15 (Km 24) di sini telah dilaksanakan dengan memuaskan setelah kesemua komponen projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh yang dibenarkan.

Menurut Siri Kedua Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan projek bernilai RM80 juta itu, namun pencapaian keberhasilannya adalah memuaskan.

“Pengguna jalan berpuas hati terhadap keselesaan dan keselamatan jalan serta projek ini telah menggiatkan ekonomi di sekitar kawasan tersebut,” kata laporan itu.

Kelemahan yang dirujuk laporan itu berkaitan tempoh bon pelaksanaan tidak dilanjutkan mengikut kontrak; kelewatan permohonan dan pertindihan tempoh lanjutan masa (EOT); kelewatan mengeluarkan Arahan Perubahan Kerja (APK); dan kualiti dan asphaltic concrete jalan raya yang tidak mencapai ketebalan yang ditetapkan. – Bernama

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid (dua, kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Wong Kah Woh menunjukkan buku laporan ketua audit negara (LKAN) ketika sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – Bernama