Pelaksanaan vaksinasi sokong pertumbuhan ekonomi ASEAN+3

Oleh Sim Y. H.

Ekonomi rantau ASEAN+3 diramal akan tumbuh sebanyak 4.7 peratus pada 2022 dan 4.6 peratus pada 2023 manakala ekonomi ASEAN diramal akan tumbuh sebanyak 5.1 peratus pada 2022 dan 5.2 peratus pada 2023.

Anggaran pertumbuhan ekonomi bagi rantau ASEAN dan ASEAN+3 itu dibuat oleh kakitangan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dalam laporan utama tahunannya, ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2022 yang diterbitkan, hari ini.

Prospek pertumbuhan itu disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi di rantau itu yang akan membantu mengurangkan risiko kesihatan COVID.

“Sekarang, dengan kita bergerak melalui 2022, ia kelihatan seperti rantau ini akhirnya telah memperoleh tempat dalam pertempuran panjangnya menentang virus itu dan kita kini boleh menyaksikan pembukaan yang lebih lengkap dan meluas serta pemulihan ekonomi yang kuat,” jelas Ketua Pakar Ekonomi AMRO, Dr Hoe Ee Khor semasa taklimat media mengenai laporan AREO 2022, yang berlangsung secara maya, hari ini.

Inflasi yang tinggi di Amerika Syarikat telah menggesa Rizab Persekutuan AS untuk mula mengetatkan dasar monetari, tetapi ketidakpastian kekal mengenai berapa agresifnya pendekatan mereka itu.

Dr Hoe Ee Khor (tengah) semasa sesi taklimat ASEAN+3 Regional Economic Outlook 2022.
Dr Hoe Ee Khor memberikan penerangan semasa sesi taklimat mengenai laporan tahunan terbitan AMRO, ASEAN +3 Regional Economic Outlook 2022, yang berlangsung secara maya.

Kadar peningkatan yang lebih tajam daripada jangkaan oleh Rizab Persekutuan AS dan pengetatan akibat keadaan kewangan global akan mempunyai implikasi kepada kadar bunga, aliran keluar modal dan turun naik pasaran kewangan di rantau tersebut.

Di dalam ASEAN+3, risiko kewangan adalah masih tinggi di kebanyakan ekonomi disebabkan oleh pandemik. Dasar-dasar kewangan makro terus diberikan tumpuan bagi meringankan impak pandemik kepada isi rumah dan firma serta menyokong pemulihan ekonomi.

Jika pemulihan itu tertangguh, lebih banyak perniagaan dan individu boleh mengalami tekanan kewangan.

Memandangkan tetapan dasar global yang kurang menyokong pada 2022, penggubal-penggubal dasar rantau akan perlu untuk melaksanakan tindakan pengimbangan yang penting dengan mengelakkan untuk menarik balik dasar-dasar sokongan secara pramatang bagi mengekalkan pemulihan serta pada masa yang sama memudahkan pengagihan semula modal dan tenaga kerja kepada sektor-sektor berkembang dan baharu serta memulihkan semula ruang dasar untuk persiapan kepada risiko masa hadapan.

Dr Khor menekankan penggubal dasar ASEAN+3 perlu menjadi lincah dalam mengemudi suasana yang rumit, mengukuhkan pemulihan ekonomi serta membina semula ruang dasar.

“Ini bukan krisis terakhir kita. Kita mesti membina semula dan terus berinovasi serta belajar untuk krisis seterusnya,” tekan beliau lagi.

Terdahulu sebelum taklimat media berkenaan, Pengarah AMRO, Toshinori Doi dalam kata alu-aluannya, menyatakan sejak penularan COVID pada 2020, ekonomi ASEAN+3 telah berjuang untuk menjinakkan virus itu bagi mengawal ekonomi masing-masing sambil menyelamatkan nyawa.

Pada 2021, dengan adanya vaksin yang efektif dan pelaksanaan program vaksinasi yang pantas, ia telah membolehkan ekonomi-ekonomi ASEAN+3 untuk melonggarkan beberapa langkah kawalan di mana ia telah membantu memudahkan pembukaan semula, ulasnya lagi, dengan hari ini, lebih daripada 70 peratus penduduk di rantau berkenaan sudah melengkapkan vaksinasi penuh mereka.

Beliau berkata dengan kita bergerak ke hadapan dalam 2022, pertumbuhan ekonomi rantau berkenaan dijangka akan menjadi normal dengan pandemik itu mula surut.

Namun begitu, prospek berkenaan masih diselubungi oleh risiko baharu, oleh itu, penggubal-penggubal dasar ASEAN+3 harus mengemudi persekitaran yang lebih rumit, mengukuhkan pemulihan ekonomi serta membina semula ruang dasar.

“Selepas krisis ini, terdapat yang lain akan datang. Kita mesti membina semula dan mempersiapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan. Kesiapsiagaan adalah seperti bernafas, jika awda tidak melakukannya, awda akan mati,” ujarnya.