Pelan AS$1.9 trilion Biden untuk ekonomi dan bendung virus

WILMINGTON, DEL, 15 JAN – Presiden terpilih Joe Biden telah mendedahkan rancangan suntikan dana bernilai AS$1.9 trilion untuk mengakhiri ‘krisis penderitaan manusia’ dengan mempercepat pengeluaran vaksin dan memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Disebut ‘Pelan Penyelamat Amerika’, cadangan tersebut akan memenuhi tujuan Biden untuk memberikan 100 juta vaksin pada hari ke-100 pemerintahannya, dan berusaha mencapai objektifnya untuk membuka kembali kebanyakan sekolah pada musim bunga.

Dari sudut yang berbeza, ia memberikan satu lagi bantuan untuk menstabilkan ekonomi tatkala anggota kesihatan awam terus berusaha mengatasi pandemik.

“Kita tidak hanya bertindak untuk kepentingan ekonomi sahaja ketika ini, tetapi kita mempunyai kewajiban moral,” kata Biden dalam ucapannya di seluruh negara kelmarin. Pada masa yang sama, dia mengakui bahawa rancangan itu tidak semudah yang dijangkakan.

Melalui pelan itu, Biden mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada AS$15 sejam, bantuan AS$350 bilion kepada kerajaan tempatan dan negeri yang terjejas dan membuka semula sekolah secara selamat.

Joe Biden ketika menyampaikan ucapannya mengenai krisis kesihatan awam dan ekonomi di teater The Queen di Wilmington, Delaware, kelmarin. – AFP

Cadangan itu turut membabitkan dana AS$160 bilion untuk memerangi COVID-19 termasuk kempen vaksinasi bernilai AS$170 bilion.

Senator Kanan Demokrat, Chuck Schumer dan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi mengalu-alukan pelan itu dan berikrar akan mengemukakannya kepada penggubal undang-undang.

“Kami akan terus bekerja bagi mengubah visi presiden dipilih Biden menjadi undang-undang yang akan diluluskan di kedua-dua dewan dan ditandatangani menjadi undang-undang,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Bagaimanapun itu hanyalah langkah pertama, dan pegawai mengatakan Biden berhasrat untuk mengemukakan pelan pemulihan kedua kepada anggota dewan selepas pelantikannya pada Rabu bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan memerangi perubahan iklim.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melaporkan lonjakan permohonan tuntutan pengangguran pada minggu pertama 2021 kepada hampir satu juta, tahap tertinggi sejak Ogos.

Berdasarkan dokumen kempen, cadangan Biden turut membabitkan pelancaran besar-besaran kempen vaksinasi COVID-19 dan penambahan jumlah pakej rangsangan melalui rang undang-undang bantuan ekonomi yang diluluskan Kongres bulan lalu.

Katanya, ia penting untuk membantu menghidupkan semula ekonomi yang masih ‘bertarung’ untuk berada pada kedudukannya semula ketika AS masih menyaksikan peningkatan kes COVID-19. – AFP