Pelan induk ekonomi digital 2025 dilancarkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Majlis Ekonomi Digital telah melancarkan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 bagi tempoh lima tahun akan datang, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), memaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan menjelaskan, melalui pelan induk berkenaan, tuju dan fokus utamanya adalah sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Pintar.

Dengan visi Negara Pintar melalui transformasi digital dan misi untuk mendorong dan meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi Negara Brunei Darussalam melalui transformasi digital, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 bertujuan untuk mendukung objektif Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti kehidupan yang tinggi, negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa dengan berpandukan Maqasid Shariah, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 mempunyai objektif strategik iaitu ekonomi yang rancak dan berdaya tahan, masyarakat yang bersedia untuk masa depan digital serta ekosistem yang kondusif secara digital.

Selain itu, empat teras strategik telah dikenal pasti bagi mendukung misi dan visi Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 iaitu pendigitalan industri (Industry Digitalization) dengan teras strategik ini antara lainnya menumpukan kepada keperluan untuk menilai kesediaan pihak-pihak berkaitan, dalam mengguna pakai teknologi IR4.0 dan mengadakan program pemberigaan yang komprehensif khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Kedua adalah pendigitalan kerajaan (Government Digitalization) dengan teras strategik ini menekankan peranan penting kerajaan dalam memudah cara pertumbuhan ekonomi dan antara fokus yang ditekankan adalah pelaksanaan identiti digital, inovasi dalam pemberian perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan penggunaan teknologi Cloud.

Ketiga, industri digital yang maju (A Thriving Digital Industry) dengan sektor ICT perlu menekankan kepada application of technologies bagi memupuk pertumbuhan yang berdaya tahan bagi sektor digital dan sektor-sektor yang lain manakala itu, teras strategik keempat adalah pembangunan sumber tenaga dan bakat (Manpower and Talent Development) dengan tenaga kerja perlu dilengkapi dengan kemahiran yang tepat sesuai dengan perkembangan teknologi yang pesat.

Dengan pelan induk ini, Majlis Ekonomi Digital akan menumpukan kepada pelaksanaan projek-projek utama di bawah sembilan kluster yang dikenal pasti dan dijangka akan dapat menghasilkan impak signifikan ke atas pertumbuhan ekonomi dengan pelaksanaan transformasi digital.

Kluster-kluster berkenaan ialah logistik dan pengangkutan, tenaga, sektor perniagaan, pelancongan, perkhidmatan kewangan, kesihatan, agrimakanan, pendidikan serta halal.

Kenyataan itu menyatakan bahawa pelan induk berkenaan dilancarkan dengan memuat naik dalam format PDF dan juga e-buku interaktif dengan siaran petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke laman sesawang rasmi MTIC di www.mtic.gov.bn.