Pelan pelonggaran sekatan UK dikritik

LONDON, 11 MEI – Pekerja tidak mahir di sebahagian kawasan Britain menghadapi risiko lebih besar terkorban akibat koronavirus daripada pekerja kolar putih, menurut satu analisis angka rasmi yang disiarkan hari ini.

Hasil keputusan oleh Pejabat Statistik Negara (ONS) itu keluar selepas Perdana Menteri Boris Johnson berkata semalam pekerja pembinaan dan pengeluaran boleh kembali bekerja tetapi mencadangkan kakitangan pejabat terus bekerja dari rumah.

Tindakan itu merupakan perubahan pertama kepada lockdown berusia tujuh minggu di seluruh negara yang dikuatkuasakan untuk mengawal penularan virus, yang diharap diperkenalkan secara berperingkat oleh kerajaan.

Butir-butir lanjut dijangka keluar apabila Johnson menyampaikan ucapan di parlimen pada 1430 GMT.

Namun parti pembangkang, kesatuan dan pemimpin perniagaan berkata tidak adanya penjelasan yang cukup mengenai cadangan baharu, dan menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan orang yang kembali bekerja.

Kerajaan di Scotland dan Wales juga berkata mereka akan meneruskan lockdown disebabkan kebimbangan mengenai kadar jangkitan yang tinggi.

Britain ialah salah sebuah negara yang paling teruk terjejas akibat pandemik global, dengan kerajaan mencatat hampir 32,000 kematian yang diuji positif dijangkiti COVID-19. – AFP

Seorang wanita memakai PPE, termasuk penutup mulut dan hidung membaca akhbar semasa beliau menunggu kereta api di London kelmarin. – AFP