Pelan promosi pacu sektor pelancongan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Republik Rakyat China meletakan keutamaan yang tinggi kepada kerjasama pelancongan bersama Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam dengan pelaksanaan Pelan Promosi Pelancongan dapat memacu perkembangan sektor pelancongan di antara China dan negara-negara Asia.

Brunei dan China mempunyai hubungan persahabatan serta kerjasama yang erat di mana Tahun Pelancongan Brunei-China memulakan bab yang baharu dalam pertukaran pelancongan di antara kedua-dua buah negara, kata Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Zhang Xu ketika berucap di Sesi Promosi dan Business Matching di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.

Jelasnya lagi, China dalam beberapa tahun kebelakangan ini, telah menaikkan taraf perkhidmatan-perkhidmatan pelancongan dan terus meningkatkan perkembangan liputan infrastruktur termasuk jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang serta memanfaatkan perkembangan teknologi yang pesat untuk memberikan akses online yang lebih baik kepada pelancong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan TYT Zhang Xu.

Turut hadir ialah Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong; Setiausaha Tetap di KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali dan pegawai-pegawai kanan serta pihak-pihak berkepentingan pelancongan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan TYT Zhang Xu bergambar ramai pada Sesi Promosi dan Business Matching antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.

Sementara itu, Awang Wardi dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa sesi promosi dan business matching itu merupakan acara pertama yang dikendalikan oleh kedua-dua belah pihak menggunakan platform Tahun Pelancongan Brunei-China 2020. Acara itu menyaksikan penyertaan daripada sebanyak 30 pegawai pelancongan dan wakil dari Republik Rakyat China yang datang ke Brunei dengan matlamat untuk membina dan mengukuhkan lagi hubungan di antara ejen dan operator pelancongan kedua-dua buah negara.

Sesi itu juga disertai oleh seramai 16 peserta dan wakil daripada industri pelancongan Brunei termasuk sektor perhotelan dan operator pelancongan.

Republik Rakyat China terus menjadi sumber kedatangan pelancongan yang tertinggi bagi Negara Brunei Darussalam di mana sebanyak 43,000 orang pelancong dari negara berkenaan berkunjung ke Brunei sehingga Julai 2019.

Pada 2018, Negara Brunei Darussalam mencatatkan peningkatan sebanyak 21.1 peratus jumlah pelancong dari China iaitu sebanyak 65,563 orang berbanding dengan seramai 54,125 orang pada 2017.

Dengan pelancaran Tahun Pelancongan Negara Brunei Darussalam-Republik Rakyat China 2020, peningkatan kesalinghubungan dan penerbangan langsung di antara kedua-dua buah negara termasuk Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) ke Beijing, ia harap inisiatif berkenaan akan meningkatkan lagi pergerakan pelancong dan pertumbuhan di antara kedua-dua buah negara.