Pelan Strategik MTIC 2025 dilancarkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah melancarkan Pelan Strategik MTIC 2025 bagi tempoh lima tahun akan datang yang mana hala tuju dan fokus utamanya sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Pintar.

Pelan Strategik MTIC 2025 yang dilancarkan hari ini, juga mengetengahkan visi baharu iaitu negara pintar terhubung dengan misi meningkatkan kesalinghubungan ke arah meluaskan peluang-peluang sosioekonomi, inovasi dan kualiti kehidupan yang tinggi, jelas kementerian berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan bahawa pelan strategik itu menjurus dan sejajar dengan tiga sasaran Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti kehidupan yang tinggi, negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Ke arah itu, pendekatan yang diambil oleh kementerian adalah berpandukan kepada enam teras strategik iaitu transformasi digital; memastikan sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi sentiasa berdaya maju dan mempunyai kedayatahanan; piawaian keselamatan sentiasa terpelihara dalam sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi; rangka kerja penggubalan dasar dan pengawalseliaan yang kondusif bagi pelaburan dan pemberian perkhidmatan; transformasi organisasi; serta pengukuhan kerjasama antarabangsa.

Teras pertama iaitu transformasi digital memaparkan usaha-usaha membawa Negara Brunei Darussalam mencapai status Negara Pintar berlandaskan Kerajaan Digital (Digital Government), Masyarakat Digital (Digital Society) dan Ekonomi Digital (Digital Economy).

Teras kedua pula ialah memastikan sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi sentiasa berdaya maju dan mempunyai kedayatahanan iaitu mewujudkan pengangkutan pintar melalui antaranya kaedah kenderaan elektrik dan Projek Rintis Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) ke arah memperbaiki sistem pengangkutan awam di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, dalam bidang infokomunikasi dan teknologi (ICT) pula, melalui projek Anugerah ICT Brunei (BICTA), kementerian juga terus mendorong penglibatan aktif pihak-pihak tertentu dalam menghasilkan produk-produk ICT bukan sahaja untuk dilanjutkan kepada aplikasi penggunaan di negara ini tetapi untuk turut dikomersialkan bagi pengeksportan ke luar negara.

Teras ketiga iaitu piawaian keselamatan sentiasa terpelihara dalam sektor pengangkutan dan sektor infokomunikasi, mengetengahkan usaha berterusan kementerian untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya dan juga akan mengekalkan piawaian keselamatan serta kesiapsiagaan ke-semua agensi di bawahnya demi mematuhi keperluan sekuriti, keselamatan dan kesejahteraan para penumpang dan pengguna.

Teras keempat iaitu rangka kerja penggubalan dasar dan pengawalseliaan yang kondusif bagi pelaburan dan pemberian perkhidmatan dengan giat meneruskan inisiatif-inisiatif usaha-sama dan permuzakarahan dengan pihak-pihak berkepentingan dalam mempayukan sebarang cadangan dasar yang perlu digubal atau dikemas kini bagi memudah cara perkembangan industri dan pelaburan.

Teras kelima iaitu transformasi organisasi di mana transformasi pengurusan dan operasi akan diteruskan dengan pendekatan baharu ke arah mencapai kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kepada orang ramai khususnya dalam sektor perkhidmatan pos, penerbangan awam dan pengangkutan darat.

Teras keenam iaitu pengukuhan kerjasama antarabangsa melalui forum antarabangsa dan serantau seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN (ASEAN Transport Ministers’ Meeting (ATM)) dan ASEAN Digital Ministers’ Meeting (ADGMIN), perjanjian-perjanjian serantau akan terus dimeterai secara dua hala dan berbagai-bagai hala bagi manfaat kesemua pihak dalam bidang-bidang seperti latihan dan pembangunan kapasiti dalam sektor-sektor pengangkutan dan infokomunikasi.

Kenyataan menyatakan bahawa melalui pelan strategik baharu berkenaan, kementerian juga memberikan fokus dan menyasarkan peningkatan dalam menjana peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan pertumbuhan sektor-sektor berkaitan dengan pengangkutan dan infokomunikasi.

Pelan Strategik MTIC 2025 dilancarkan dengan memuat naik pelan berkenaan dalam format PDF dan juga e-buku interaktif dengan siaran petikan-petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke laman web rasmi kementerian, www.mtic.gov.bn.