Pelan Strategik Pembangunan Belia dilancar

KOTA KINABALU, 21 Feb – Penyediaan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020 dan Dasar Belia Sabah menjadi rujukan penting oleh kerajaan negeri Sabah untuk membuat polisi membangunkan potensi belia dalam semua aspek.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah mempunyai 1.87 juta belia menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2015 yang menunjukkan belia antara komposisi teramai di Sabah.

Katanya berdasarkan indeks Belia Sabah (IBS) 2015, skor yang diperoleh adalah sebanyak 68.68 yang menunjukkan belia Sabah berada ditahap sederhana berdasarkan kepada 12 domain dalam IBS.

Menurutnya domain tersebut iaitu bebas tingkah laku devian, kesihatan, hubungan sosial, keselamatan, pembangunan kendiri, identiti diri, potensi diri, penggunaan media, pendidikan, kesejahteraan ekonomi, waktu senggang dan sosialisasi politik.

“Justeru, Pelan Strategik Pembangunan Belia Negeri Sabah dan Dasar Belia Sabah dilahirkan bagi meningkatkan lagi kesejahteraan belia dan melahirkan belia sebagai peneraju utama dan pemangkin dalam pembangunan negeri Sabah.

“Instrumen dan mekanisme ini adalah asas penting dalam memperkasa belia sebagai pemimpin negeri dan negara pada masa kini dan pada masa hadapan,” katanya ketika melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020 dan Dasar Belia Sabah di sini, hari ini. – Bernama