Pelan tindakan ASEAN dibincang

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Mesyuarat Jawatankuasa mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN ke-80 (ASEAN COSTI-80) telah diadakan secara maya selama dua hari hingga hari ini yang antara lain membincangkan mengenai Status Dana Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (ASTIF).

Pada mesyuarat itu, Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hari ini, mesyuarat telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi, Thailand, Profesor Sirirurg Songsivilai.

Kenyataan menyatakan, perkara utama lain yang turut dibincangkan semasa mesyuarat itu adalah perkembangan inisiatif-inisiatif bagi Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI), pelaksanaan COSTI 2021 Annual Priorities, persetujuan COSTI 2022 Annual Priorities dan sokongan Kerangka Pendidikan STI Industri 4.0 (Framework on STI Education for Industry 4.0).

Mesyuarat turut membincangkan mengenai pengembangan kerjasama di STI dengan rakan dialog dan organisasi antarabangsa dan membuat pemerhatian pembentangan mengenai kerjasama STI dengan organisasi antarabangsa.

Pada mesyuarat itu juga dibincangkan mengenai persetujuan pengaturan dan susunan tarikh untuk Mesyuarat COSTI ke-81 yang akan dihoskan dan dipengerusikan oleh Vietnam.

Semasa mesyuarat itu, Dr Jimmy Lim Chee Ming dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) selaku pengerusi Lembaga Penasihat COSTI (BAC), telah membentangkan laporan Mesyuarat Jawatankuasa BAC ke-11. Dalam perkara tersebut, pihak COSTI bersetuju untuk membiayai dua projek melalui dana ASTIF iaitu ASEAN COVID Genomics Project dan ASEAN-Wide Anti-COVID-19 Sero-Surveillance Study sebanyak AS$50 ribu.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan juga bersetuju dengan cadangan bagi menyejajarkan inisiatif-inisiatif APASTI kepada laporan pertengahan tahun ASEAN Economic Community (AEC) Blueprint 2025.

Kenyataan menambah, mesyuarat juga menyaksikan sesi penilaian untuk memilih pemenang Underwriters LaboratoriesASEAN-US Prize for Women in Science yang mana pemohon-pemohon dinilai berdasarkan sumbangan akademik mereka terhadap tema Clean Water, Clean Air, serta usaha mereka untuk membimbing saintis-saintis wanita lain. Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan pegawai-pegawai kanan di kementerian berkenaan.

Haji Mohammad Nazri semasa menghadiri ASEAN COSTI-80 yang diadakan secara maya. – Gambar serahan MTIC