Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelan tindakan dirangka transformasikan ladang hutan Sabah

    TUARAN, 25 MAC – Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036 yang dirangka Jabatan Perhutanan Sabah akan dijadikan sebagai panduan dalam mentransformasikan ladang hutan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor. 

    Beliau berkata ia adalah tindakan strategik dan penentu untuk mengubah ladang hutan di negeri ini ke arah mencapai penggunaan tanah yang mampan untuk mengukuhkan tanaman hasil kayu di Sabah.

    “Ia akan menjadi pelan tindakan pembangunan ladang hutan untuk tempoh 15 tahun akan datang dan pelan ini memberi panduan dalam pembangunan ladang hutan mengikut pengurusan hutan lestari, seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (2021-2025) dan Dasar Hutan Sabah 2018. 

    “Menjadi harapan menjelang 2035, sasaran 400,000 hektar ladang hutan dan keupayaan kapasiti pengeluaran sekurang-kurangnya enam juta meter padu setahun tercapai,” katanya berucap merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Negeri Sabah di Hutan Simpan Sulaman Lake di sini hari ini. 

    Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffery Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan; Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Sarul Bahiyah Abu dan Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan.

    Semalam, Hajiji ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah dilaporkan berkata 400,000 hektar ladang hutan akan dibangunkan dalam kawasan hutan simpan di negeri ini untuk pengeluaran kayu hutan menjelang 2036. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda