Tuesday, November 29, 2022
25.2 C
Brunei

-

Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022-2025 dilancar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Tidak dinafikan bahawa gangguan dan masalah kesihatan mental dilihat semakin meningkat dalam 10 tahun kebelakangan ini secara global dan peningkatan itu dipercepatkan lagi dengan kemunculan pandemik COVID-19.

Kadar stres, kebimbangan dan kemurungan selepas tercetusnya pandemik jangkitan COVID-19 meningkat di seluruh dunia dengan anggaran satu dalam setiap empat orang mengalaminya.

Sehubungan itu, bagi mempromosi kesihatan dan kesejahteraan mental yang baik untuk semua, Kementerian Kesihatan melancarkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam 2022-2025 pada majlis yang diselajurkan dengan Penandatanganan Memorandum Friends of HPC, sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022, di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir melancarkan dan menyaksikan penandatanganan memorandum tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Ketua Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim dalam kata alu-aluannya berkata, pelan tindakan itu bermatlamat untuk menggalakkan kesihatan mental dan kesejahteraan, mencegah gangguan mental, mengukuhkan penjagaan yang kos efektif dan mampan, menggalakkan dan meningkatkan pemulihan serta mengurangkan kematian, morbiditi dan hilang upaya bagi orang yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Majlis turut menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan melalui HPC dan lima badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam, Majlis Belia Brunei, Big BWN, Cope for Hope dan The Blue Raincoat Collective yang disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Penandatanganan memorandum tersebut dihasratkan untuk memupuk kerjasama dan membuka peluang kepada NGO untuk sama-sama menaik taraf kapasiti dalam
usaha untuk mencapai peningkatan pengetahuan dan kesedaran awam terhadap kepentingan kesihatan mental serta kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.

Penandatanganan Memorandum Friends of HPC antara Kementerian Kesihatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam yang disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham diberikan penerangan semasa melawat pameran yang diadakan di Pelancaran Pelan Tindakan Kesihatan Mental Brunei Darussalam 2022-2025, kelmarin.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Taliban Pakistan tamat gencatan senjata

ISLAMABAD, 28 NOV – Taliban Pakistan berkata hari ini mereka telah membatalkan gencatan senjata goyah yang dipersetujui dengan kerajaan pada Jun lalu dan mengarahkan...
- Advertisment -