Pelancaran digital Nissan Z Proto

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Sekumpulan penggemar kereta Nissan telah berpeluang menyaksikan pelancaran digital Z Proto, yang disiarkan di seluruh dunia dari Jepun, dalam acara perkumpulan eksklusif yang dianjurkan oleh Nissan Brunei di Bilik Pameran Nissan, Beribi, hari ini.

Ahli-ahli kelab pemilik Nissan X dan penggemar kereta Nissan lain itu telah dijemput bagi menyaksikan pelancaran digital berkenaan pada pukul 8:30 pagi (waktu Jepun) bersama-sama kakitangan dan pihak pengurusan Nissan Brunei.

Acara tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Nissan Brunei, Dayang Julia Farhanah binti Haji Mohd Yusof, diikuti dengan ucapan pembukaan yang disampaikan oleh Ketua Pemasaran Kanan Nissan Brunei, Han Ming Kwang yang antara lain menyentuh mengenai warisan Nissan Z dan transformasinya serta mengenai masa depan Nissan.

Menurut kenyataan yang diberikan, setiap kereta Nissan Z adalah istimewa atas pelbagai sebab.

Ketika Z pertama kali datang ke Brunei, ia menggabungkan keperibadian sport coupe yang seronok untuk dipandu dengan kereta sport buatan Jepun yang mampu milik.

Z tidak hanya menjadi menarik perhatian di jalan raya, malah juga memberikan pe-ngalaman pemanduan yang luar biasa dan prestasi hebat untuk menghasilkan mesin impian yang boleh dipercayai.

Sementara Z terbaharu itu masih dalam pembinaan, ramai penggemar kereta sport di negara ini telah menyatakan minat mereka dengan bertanya bila dan adakah Z yang seterusnya akan membuat kemunculan di Brunei.

Han Ming Kwang berkata, “Warisan Z bukan hanya sahaja berbaloi untuk dinantikan dan mengingatinya, malahan kami (Nissan) sentiasa menghasilkan ciptaan yang menarik pada masa akan datang dalam mengekalkan ‘Nissan-ness’ kami dan menjadikan barisan kenderaan kami lebih menyeronokkan untuk dipandu dan dimiliki seumur hidup!”

Antara yang hadir di Bilik Pameran Nissan Brunei bagi menyaksikan pelancaran digital Z Proto.
Nissan Z Proto yang dilancarkan secara digital.