Pelancaran kejohanan golf brunei

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran dan Perasmian Kejohanan Golf Butra Heidelbergcement Brunei 2019 di Royal Brunei Polo & Riding Club, Jerudong.

Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem selaku penganjur kejohanan.

Turut menjunjung keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, pengerusi kejohanan, ahli jawatankuasa dan penaja kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu.

Juga hadir pada majlis petang tadi ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai semasa Majlis Pelancaran dan Perasmian Kejohanan Golf Butra Heidelbergcement Brunei 2019. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, YAM Pengiran Muda Abdul Hakeem dan YAM Pengiran Muda Bahar.
Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan beramah mesra dengan beberapa orang pemain golf yang akan mewakili Negara Brunei Darussalam di Kejohanan Golf Butra Heidelbergcement Brunei 2019, yang akan berlangsung di Padang Golf, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan beramah mesra dengan Prom Meesawat dan Kiradech Aphibarnrat.

Acara diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kejohanan Golf Butra Heidelbergcement Brunei 2019, Haji Mohd Junaidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen kemudian berkenan dijunjung menyempurnakan pelancaran dan perasmian Kejohanan Golf Butra Heidelbergcement Brunei 2019 sebelum berkenan beramah mesra dengan para pemain yang bakal beraksi di kejohanan itu bermula esok. Seramai lebih kurang 100 pemain golf dari serata dunia menyertai kejohanan tersebut, di mana 10 pemain tempatan dijangka beraksi termasuk Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem.

Antara pemain yang terpilih mewakili Brunei Darussalam ialah Awang Faiz Damit, Pengiran Wirahadikusuma bin Pengiran Salleh, Awang Zul Hilmi bin Haji Rosli, Awangku Muhd Syakir bin Pengiran Haji Alli, Awang Mohammed Qawim Fakhri bin Haji Aslimon, Awang Mohammed Qazzri Fakhri bin Haji Aslimon, Aritz Haji Majid dan Lai Suan Loong.

Kejohanan kali ini bakal akan menyaksikan kelibat pemain golf popular dari Thailand, Prom Meesawat bagi mencabar pesaing terdekatnya, yang juga merupakan juara bertahan pada tahun lalu, Kiradech Aphibarnrat.

Kejohanan Golf Butra Heidelbergcement Brunei 2019, yang berlangsung selama empat hari bermula esok hingga Sabtu ini, turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.

Orang ramai dialu-alukan hadir bagi memeriahkan dan menyaksikan pemain-pemain golf handalan beraksi di Padang Golf, Empire Hotel & Country Club itu esok.