Pelancaran Pasar Tamu Biperoh Feb ini

KUCHING, 12 Feb – Pasar Tamu Persatuan Biperoh Kuching (BAK) yang terletak di dewan serbaguna di persimpangan Kampung Garung, Jalan Borneo Heights, kira-kira 40 kilometer dari Kuching akan mula beroperasi pada 22 Februari ini.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil akan menyempurnakan majlis pelancaran pasar tamu itu pada 23 Februari ini.

Presiden BAK Mangan Ngandok berkata, bersempena pelancarannya  pelbagai aktiviti akan diadakan, bermula Jumaat, 22 hingga 24 Februari, yang meliputi pembukaan gerai menjual pelbagai barangan, persembahan karaoke dan persembahan kugiran dan cabutan nombor bertuah.

Beliau berkata kira-kira 30 gerai menjual pelbagai barangan termasuk makanan dan minuman, hasil hutan, kraf-tangan dan ikan segar akan beroperasi sepanjang tempoh tiga hari berkenaan.

“Bersempena dengan pelancaran bazar itu nanti, pihak persatuan tidak akan mengenakan sebarang yuran ke atas pengusaha gerai.

“Mereka hanya perlu mengisi borang yang disediakan oleh pihak penganjur dan mengemukakannya kepada Dewort Jawab,” katanya dan menambah bahawa persatuan itu juga menyediakan kanopi tetapi pengusaha gerai perlu membawa meja dan kerusi sendiri.

Mangan berkata, bazar itu akan  bermula pada petang Jumaat dengan 30 gerai beroperasi dan pelawat akan dihiburkan dengan persembahan  berkaraoke, manakala semasa majlis pelancaran bazar pengunjung akan dihiburkan oleh kugiran dan penyanyi jemputan.

“Pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi enam hadiah lumayan,” kata Mangan.

Beliau berkata, selepas majlis pelancaran, bazar itu akan terus beroperasi pada setiap hujung minggu (Jumaat hingga Ahad). – Bernama