Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pelancaran produk pelancongan Daerah Belait

    Oleh Nurdiyanah R.

    BELAIT, 9 FEB – Dengan hasrat untuk meneruskan misi mempromosikan pelbagai tempat tarikan yang menawarkan perkhidmatan experiential tours yang menggabungkan pelbagai produk pelancongan tempatan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan telah melancarkan Pakej-pakej Produk Pelancongan Daerah Belait pada majlis yang berlangsung di Pusat Biodiversiti Tropika, Belait, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan pelancaran pakej produk pelancongan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab yang sekali gus menyampaikan ucapan dan menyaksikan brosur dan tayangan video berkisar pelancongan menarik di daerah tersebut.

    Aktiviti penanaman pokok turut dilaksanakan sebagai tanda peringatan majlis pelancaran pakej produk pelancongan tersebut. Lima batang pokok yang ditanam itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Perhutanan bagi pemuliharaan ex-situ yang berterusan.

    Dalam ucapannya, Hajah Tutiaty meluahkan kesyukuran atas majlis pelancaran pakej produk pelancongan yang ketiga khusus bagi Daerah Belait sejurus setelah kejayaan majlis seumpamanya di Daerah Temburong dan Brunei dan Muara secara berasingan pada minggu lalu.

    Jelasnya, Daerah Belait dikenali sebagai tempat terletaknya sumber terpenting negara iaitu minyak dan gas. Terdapat beberapa tarikan pengunjung yang mencerminkan sejarah legasi perkembangan industri minyak dan gas, antaranya Billionth Barrel Monument yang dibina sebagai memperingati satu billion tong minyak mentah yang digali di Seria.

    Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab menyaksikan pembuatan kraf tangan etnik Iban di Rumah Panjang Mendaram Besar di Kampung Labi selepas melancarkan Pakej-pakej Produk Pelancongan Daerah Belait di Pusat Biodiversiti Tropika, Belait. – Gambar oleh Daniel Lim
    Hajah Tutiaty meninjau salah sebuah tempat tarikan yang mempromosikan pakej produk pelancongan Daerah Belait. -Gambar oleh Daniel Lim

    Beliau berkata, dengan adanya pakej-pakej produk pelancongan yang diperkenalkan itu akan dapat mempromosikan tempat-tempat tarikan yang terdapat di keempat-empat daerah termasuk emerging products dan produk yang diungkayahkan oleh ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK).

    “Selain itu jua, ianya adalah sebagai persediaan Jabatan Kemajuan Pelancongan bagi promosi cuti persekolahan; sekali gus persediaan untuk menerima kedatangan pelancongan pasca fasa endemik COVID-19,” ujarnya lagi.

    Selepas majlis pelancaran, program lawatan suai kenal bagi para pengamal media dan agensi pelancongan turut diadakan di mana rombongan berpeluang menerokai lebih lanjut mengenai produk dan aktiviti pelancongan yang terdapat di Daerah Belait, bermula dengan lawatan trek di Pusat Biodiversiti Tropika, lawatan ke Taman Rekreasi Hutan Luagan Lalak dan Rumah Panjang Mendaram Besar di Kampung Labi.

    Promosi pakej produk pelancongan akan diteruskan dengan siri pelancaran terakhir Pakej Produk Pelancongan Daerah Tutong pada Sabtu ini yang akan diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, Pekan Tutong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...