Pelancaran semula UTB eV House

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Pelancaran semula Rumah Tenaga Rendah ITB dengan nama baharunya, Rumah Penjimatan Tenaga Universiti Teknologi Brunei (UTB eV House) dihasratkan menjadi platform penyelidikan di bawah Pusat bagi Kejuruteraan
Inovatif (CIE).

Rumah yang diaktifkan semula itu, merupakan satu inisiatif untuk menghidupkan dan dimanfaatkan sebagai medium perantaraan bagi penyelidik dan ahli akademik Universiti Teknologi Brunei (UTB) daripada pelbagai jurusan untuk berhubungan serta bekerjasama bagi melaksanakan projek-projek penyelidikan berpotensi dan idea-idea inovatif.

Ia juga boleh digunakan sebagai medium untuk mengetengahkan aktiviti-aktiviti
penyelidikan UTB kepada pihak-pihak yang berkepentingan dari dalam dan luar seperti pihak industri, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menarik pembiayaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah CIE, Profesor Madya Somnuk Phon-Amnuaisuk dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Pelancaran Semula UTB eV House yang berlangsung di UTB, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran semula UTB eV House ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman. Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama kakitangan dan pelajar-pelajar UTB serta para jemputan khas.

Profesor Dr Hajah Zohrah diberikan penerangan mengenai beberapa projek yang sedang dilaksanakan di UTB eV House.

Profesor Madya Somnuk menggalakkan para penyelidik dan pelajar UTB untuk menggunakan rumah berkenaan sebagai platform untuk berinovasi secara kreatif serta memanfaatkan sepenuhnya keupayaan rumah berkenaan.

Ia juga mampu membuka peluang bagi para pelajar untuk terlibat dalam projek penyelidikan yang disokong pihak industri di mana ia membantu mereka mendapatkan akses kepada bakal-bakal majikan.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan inisiatif untuk menghidupkan semula UTB eV House adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memanfaatkan teknologi hijau dan dapat menawarkan impak global yang signifikan dalam memberikan respons kepada Perjanjian Paris dan Protokol Kyoto untuk menangani perubahan iklim.

Majlis diteruskan dengan pelancaran semula UTB eV House oleh Profesor Dr Hajah Zohrah yang seterusnya diberikan penjelasan mengenai projek-projek yang dilaksanakan di rumah tersebut.

UTB eV House akan digunakan sebagai platform untuk menyokong penyelidikan dalam rumah atau pengurusan tenaga bangunan, teknologi tenaga hijau, teknologi peralatan, kejuruteraan struktur, rekaan dalaman dan pertanian pintar.

Pada masa ini, beberapa aktiviti penyelidikan sedang dilaksanakan termasuk penyelidikan dalam sistem pengurusan tenaga sebagai usaha untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga di rumahatau bangunan-bangunan kediaman yang lain dan pertanian pintar termasuk penyelidikan terhadap hidroponik organik menggunakan bahan-bahan yang diperoleh di Brunei seperti produk-produk sisa.

Rumah itu dibina pada 2005 untuk menyokong penyelidi-kan bagi teknologi tenaga rendah khususnya penggunaan tenaga suria dan bahan-bahan binaan tenaga rendah.

Dengan pelancaran semula rumah berkenaan, ia dihasratkan menjadi permulaan bagi pelbagai inisiatif penyelidikan dan aktiviti yang menarik oleh ahli-ahli akademik, penyelidik dan pelajar serta untuk membuka ruang bagi kerjasama dalam pelbagai penyelidikan menarik di luar universiti.