Thursday, February 27, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelancong antarabangsa lawat Korea Utara buat kali pertama

    SEOUL, 26 FEB – Sekumpulan kecil pelancong asing telah melawat Korea Utara sejak minggu lalu, menjadikan mereka sebagai pengembara antarabangsa pertama memasuki negara itu dalam tempoh lima tahun kecuali sekumpulan pelancong Rusia yang mengunjungi Utara tahun lalu.

    Perjalanan terbaharu itu menunjukkan Korea Utara mungkin bersiap sedia untuk menyambung semula sepenuhnya pelancongan antarabangsanya untuk membawa masuk mata wang asing yang amat diperlukan untuk memulihkan ekonominya yang sedang bergelut, kata pakar.

    Syarikat pelancongan yang berpangkalan di Beijing, Koryo Tours berkata ia mengatur perjalanan lima hari dari 20 hingga 24 Februari untuk 13 pelancong antarabangsa ke bandar sempadan timur laut Korea Utara Rason, tempat terletaknya zon ekonomi khas negara itu.

    Pengurus Besar Koryo Tours, Simon Cockerell berkata pelancong dari United Kingdom, Kanada, Greece, New Zealand, Perancis, Jerman, Austria, Australia dan Itali menyeberang melalui darat dari China. Beliau berkata di Rason, mereka melawat kilang, kedai, sekolah dan tugu Kim Il Sung dan Kim Jong Il, mendiang datuk dan bapa pemimpin semasa Kim Jong Un.

    “Sejak Januari 2020, negara ini telah ditutup kepada semua pelancong antarabangsa, dan kami gembira kerana akhirnya dibuka di kawasan Rason, jauh di utara Korea Utara,” kata Cockerell.

    “Lawatan pertama kami telah berakhir, dan kini lebih ramai pelancong dalam kedua-dua kumpulan di samping lawatan peribadi akan masuk, mengatur perjalanan,” tambahnya. – AFP

    Gambar fail bertarikh 9 Februari 2024 menunjukkan sekumpulan pelancong Rusia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang di Pyongyang, Korea Utara. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda