Pelancong Brunei ke Thailand meningkat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Pada 2015, jumlah pelancong dari Negara Brunei Darussalam yang berkunjung ke Thailand telah meningkat kira-kira 28 peratus iaitu seramai 13,800 pada 2015 berbanding dengan 11,200 orang pada 2013.

Walaupun dari segi jumlah pelancong dari Negara Brunei Darussalam ke Thailand adalah sedikit jika dibandingkan dengan pelancong-pelancong dari negara-negara lain tetapi ia tidak bermakna bahawa pasaran Brunei bukannya sebuah pasaran pelancongan yang penting bagi Thailand.

Pasaran pelancong dari Brunei yang berkunjung ke Thailand dikategorikan sebagai pasaran ‘niche’ atau khusus di mana mereka merupakan pelancong yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi serta berkunjung bagi mendapat perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan dan untuk membeli-belah.

Sehubungan dengan itu dan sebagai tanda kepada pentingnya pasaran Brunei bagi pelancongan Thailand, Autoriti Pelancongan Thailand (TAT) akan mengadakan Taklimat Produk Pelancongan Thailand 2017 bagi Brunei di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan pada 9 Januari nanti

Pengurus Pemasaran TAT bagi Brunei dan Malaysia, Richard Lim Chew Lee berkata bahawa TAT terus mencatatkan pertumbuhan yang baik dari segi jumlah pelancong Brunei ke Thailand dari setahun ke setahun di mana pelancong dari Brunei dilihat sebagai bukan pasaran besar tetapi pasaran ‘niche’ atau khusus.

Richard akan berada di Brunei pada 9 Januari nanti untuk memberikan penerangan mengenai pelbagai acara dan tarikan Thailand yang akan diketengahkan sepanjang 2017.
Richard akan berada di Brunei pada 9 Januari nanti untuk memberikan penerangan mengenai pelbagai acara dan tarikan Thailand yang akan diketengahkan sepanjang 2017.

Richard menjelaskan lanjut bahawa pelancong dari Brunei yang berkunjung ke Thailand akan berada di negara berkenaan bagi jangka masa yang agak panjang, mempunyai kuasa pembelian yang tinggi, mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan serta akan menginap di hotel yang bertaraf tinggi.

Beliau menyatakan bahawa sebahagian besar pelancong akan berkunjung semasa cuti sekolah seperti di bulan Ramadan di mana mereka akan membeli-belah sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang atau semasa cuti hujung tahun.

Sehubungan dengan itu, taklimat itu nanti akan memberikan penerangan mengenai pelbagai produk pelancongan yang diperkenalkan sepanjang 2017 serta juga acara-acara yang menarik bagi pasaran pelancongan unik Brunei.

Ia juga memberikan peluang kepada rakan-rakan kongsi TAT termasuk syarikat pelancongan Brunei untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pelbagai tarikan dan acara yang akan berlangsung sepanjang 2017.