Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Pelancong Korea teruja rasai pengalaman di Brunei

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Lebih kurang 120 orang pelancong dari Korea Selatan telah tiba di Brunei Darussalam, semalam, dengan penerbangan carter pertama ke negara ini di bawah Antara Travel & Tours Sdn Bhd.

    Beberapa orang pelancong yang ditemui melahirkan rasa teruja atas kunjungan pertama serta kunjungan semula mereka ke negara ini.

    Salah seorang pelancong, Dahee Um yang pertama kali berkunjung ke negara ini mengongsikan bahawa selepas membuat beberapa kajian mengenai Brunei, beliau dan rakan seperjalanannya teruja untuk merasai pengalaman negara ini secara langsung.

    Menurutnya, mereka telah memilih untuk datang ke negara ini selepas melawat Kota Kinabalu dua minggu lalu dan mengetahui jarak yang dekat dengan Brunei.

    “Kami menjadi ingin tahu tentang negara ini dan memutuskan untuk berkunjung ke sini,” kata Dahee Um, 31, yang berasal dari Seoul.

    Sementara itu, Chaeyeon Kim, 22, juga dari Seoul, merupakan pelajar Sarjana Muda Sains di Universiti Brunei Darussalam dan kembali ke negara ini setelah pulang bercuti.

    “Orang-orang di sini baik dan aman damai, dan saya juga suka pemandangan alam semula jadi di sini,” ujar Chaeyeon.

    Pengurus Besar Antara Travel & Tours, Dayang Nur Rabi’atul binti Haji Sulaiman pula berkata, pelancong yang berkunjung akan menetap di negara ini selama empat hari tiga malam dan dibahagikan kepada dua kumpulan berbeza, iaitu pemain-pemain golf dan pelancongan.

    Jelasnya, pemain golf akan bermain di padang golf yang berbeza manakala pelancong yang menyertai program lawatan dijadualkan membuat lawatan bandar di sekitar Bandar Seri Begawan, lawatan sehari ke Temburong serta lawatan malam.

    “Ini adalah penerbangan carter pertama dari Korea Selatan sejak pandemik, yang dibawa oleh syarikat kami. Akan ada satu lagi kumpulan pelancong yang akan datang pada 19 November dan penerbangan carter kami akan diteruskan sehingga 30 November.

    “Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) kemudiannya akan menjalankan penerbangan berjadual secara biasa,” tambahnya.

    Beliau juga menyatakan bahawa pelancong dari Korea Selatan amat mengagumi keindahan alam semula jadi, langit yang cerah dan suasana aman damai yang sukar ditemui di negara lain, termasuk Korea Selatan sendiri.

    Syarikat tersebut juga menyasarkan lebih banyak pasaran seperti Jepun dan Republik Rakyat China pada masa akan datang.

    Dengan pembukaan semula sempadan, beliau berharap lebih ramai pelancong akan datang ke Brunei.

    (Klik di sini untuk mengikuti berita-berita Media Permata)

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...