Pelancong kunjungi Iran, Itali u, Korea S dilarang masuk Singapura

SINGAPURA, 3 MAC – Mulai esok, Singapura akan melarang kemasukan pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke Iran, Itali utara dan Korea Selatan dalam tempoh 14 hari lepas, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu hari ini.

Menurut kenyataan MOH, mereka tidak akan dibenar memasuki atau melakukan transit melalui Singapura mulai 4 Mac 2020 pada jam 2359.

Kementerian itu berkata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan menggantung pengeluaran semua bentuk visa baharu kepada pemegang pasport Iran dengan serta-merta. Selain itu, visa jangka pendek dan kemasukan berbilang yang telah dikeluarkan kepada pemegang pasport Iran akan digantung, katanya.

Langkah tambahan itu diambil susulan terdapat peningkatan dalam jumlah kes COVID-19 yang telah disahkan di seluruh dunia terutama di Iran, Itali utara, Jepun dan Korea Selatan.

“Ia adalah untuk mengehadkan risiko yang mungkin ditimbulkan rantau terjejas ini kepada Singapura,” menurut kenyataan itu.

Setakat tengah hari, terdapat sejumlah 90,689 kes COVID-19 yang telah disahkan di seluruh dunia, termasuk 10,538 kes di luar tanah besar China. – Bernama