Pelancong perubatan antara pesakit baharu di Thailand

BANGKOK, 24 OGOS – Seorang pelancong perubatan dari Qatar adalah seorang daripada dua pesakit baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlahnya sebanyak 3,397 kes sehingga kini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Tanarak Pipat berkata lelaki Qatar berusia 71 tahun itu tiba pada 22 Ogos untuk meneruskan rawatan kanser di Bangkok.

“Dia diuji positif COVID-19 dalam ujian pertama ketika menjalani kuarantin wajib di kemudahan kuarantin hospital alternatif.

“Dia ditemani oleh dua anak lelakinya.

Kedua-duanya diuji negatif dan menjalani kuarantin 14 hari,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Seorang lagi pesakit yang diuji positif COVID-19 membabitkan pelajar lelaki Thai berusia 25 tahun yang pulang dari India.

Setakat ini, Thailand melaporkan 3,397 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Sebanyak 953 kes adalah kes import. Thailand merekodkan sifar penularan tempatan selama tiga bulan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan Tares Krassanairawowong berkata 423 pesakit dan 250 penjaga mereka telah mendaftar untuk memasuki negara ini di bawah program perubatan dan kesihatan.

Sehingga kini, beliau berkata sebanyak 166 warga asing termasuk 76 penjaga telah memasuki negara ini sejak 1 Julai.

“Terdapat 98 hospital dan 26 klinik menyediakan program perubatan dan kesihatan,” katanya. – Bernama