Pelancong SpaceX berjaya kelilingi orbit

WASHINGTON, 19 SEPT – SpaceX yang membawa empat pelancong mendarat di Lautan Atlantik pesisir pantai Florida semalam selepas tiga hari berlepas ke angkasa lepas, sekali gus menjadi misi berjaya dan bersejarah tanpa kehadiran angkasawan profesional.

Pelindung haba pada kapsul SpaceX Dragon membolehkannya tahan lasak ketika pendaratan, sebelum empat payung terjun besar dikeluarkan untuk menampung kapsul itu sebelum mendarat jam 7 malam (2300 GMT), menurut kemas kini video secara langsung oleh syarikat berkenaan.

Sebuah bot segera menghampiri SpaceX dan membukakan pintu bagi membolehkan angkasawan keluar. Mereka kemudian dipindahkan dengan helikopter ke Pusat Angkasa Kennedy, lokasi di mana mereka berlepas dengan menaiki roket Falcon 9, Rabu lalu.

“Ia sangat penting bagi kami dan kami baru saja bermula,” kata kapten jutawan, Jared Isaacman, yang membiayai misi terbabit.

Matlamat misi yang dikenali Inspiration4 itu bertujuan mendorong pendemokrasian ruang angkasa lepas dengan membuktikan kosmos dapat diakses oleh kru yang tidak dipilih atau dilatih selama bertahun-tahun.

Isaacman yang membayar puluhan juta dolar, menawarkan tiga tempat duduk kepada orang awam iaitu jururawat, Hayley Arceneaux, 29; bekas veteran Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), Chris Sembroski, 42 dan profesor, Sian Proctor, 51.

Kapsul Dragon bergerak lebih jauh dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di orbit pada ketinggian kira-kira 575 kilometer dan mengelilingi dunia lebih 15 kali setiap hari.

Ketika penerbangan, tanda vital anggota kru dipantau untuk mengkaji kesan persekitaran angkasa lepas. – AFP

Gambar diambil daripada video SpaceX menunjukkan penumpang menaiki kapsul SpaceX melambai ketika payung terjung kapsul mendarat di Lautan Atlantik di luar pantai Florida pada 18 September 2021. – AP