Pelancong tanggung sendiri kos saringan

MANAMA, 13 JULAI – Kementerian Kesihatan kelmarin mengumumkan semua pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain mulai 21 Julai 2020, perlu menanggung sendiri kos ujian saringan COVID-19, sebanyak BHD30 (AS$79.78).

Bayaran boleh dibuat secara tunai dan elektronik dengan pilihan membayar terlebih dahulu melalui aplikasi mudah alih ‘BeAware Bahrain’ untuk memudahkan proses.

Kru kabin, diplomatik atau pelancong rasmi lain dan mereka yang tiba di bawah kategori perjalanan perubatan adalah terkecuali.

Selain itu, penumpang transit tidak perlu menjalani saringan COVID-19 atau dikuarantin. Namun, rakyat dan penduduk Bahrain akan terus menikmati rawatan perubatan COVID-19 secara percuma, sesuai dengan piawaian antarabangsa dan seperti digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lapor agensi berita Bahrain (BNA).

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam akan bekerjasama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain dan syarikat penerbangan untuk melaksanakan perkara itu, tambah Kementerian.– Bernama