Pelancongan Asia dan Pasifik bermula goyah

BALI/CANBERRA, 31 JULAI – Pelancongan di seluruh Asia dan Pasifik bermula senyap dan goyah, manakala sebahagiannya tersilap langkah, selepas industri pelancongan sebahagian besarnya terhenti akibat pandemik koronavirus yang agak surut namun di sebahagian tempat di seluruh dunia, terus meningkat.

Pulau peranginan Bali, Indonesia secara perlahan membuka pintunya kepada pelawat domestik hari ini manakala perniagaan pelancongan bergelut di Queensland, dikenali sebagai Negeri Matahari Australia, yang tidak lama lagi akan kehilangan pelawat dari bandar terbesar, Sydney.

Dengan perjalanan antarabangsa masih lagi dilarang di mana-mana, usaha bagi menghidupkan semula pelancongan berjalan amat perlahan dan ada kalanya berbahaya.

Ia terbukti di destinasi pantai popular Vietnam, Da Nang di mana wabak bermula dengan seorang sahaja minggu lalu, kini bertambah hampir 100 kes. Pantai Da Nang yang dikunjungi sekitar 50,000 pelancong semasa musim puncaknya, kosong apabila bandar itu dikenakan perintah sekatan pada Selasa.

Negeri Queensland, Australia dipercayai bebas daripada jangkitan komuniti virus itu, membenarkan semua pelancong antara negeri masuk kecuali dari negeri dibelenggu koronavirus, Victoria.

Meskipun kehilangan pelawat dari Melbourne, mereka berharap dapat menerima lebih ramai penduduk Sydney yang ingin bercuti di sana. Namun jangkitan yang semakin bertambah di Sydney, membuatkan kerajaan Queensland mempertimbangkannya dan kini pelawat dari Sydney dilarang masuk bermula esok.

Seperti Indonesia dan Australia, wilayah dan negara lain di Asia dan Pasifik turut berhati-hati, meskipun pada mulanya virus tampak terkawal, gelombang kedua atau ketiga kembali mengakibatkan mereka dalam krisis, seperti Hong Kong dan Jepun, manakala Thailand turut cuba membuka pintunya kepada pelancong bulan depan. – AP

Pegawai lapangan terbang memakai penutup mulut dan hidung, kelihatan beratur sambil memegang bunga bagi mengalu-alukan kedatangan pelawat di lapangan terbang Bali, Indonesia, 31 Julai. Bali membuka semula pelancongan domestik dengan berhati-hati ketika negara-negara Asia dan Pasifik mengambil langkah waspada membuka industripelancongan mereka. –AP