Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Pelancongan digital promosi sejarah Brunei

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Sebagai sebahagian daripada usaha ke arah menyumbang kepada pendigitalan pelancongan di Negara Brunei Darussalam, ebode by Dynamik Technologies dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), melancarkan Digital Audio Tour Guide di atas aplikasi izi.TRAVEL, hari ini.

    Pelancaran Digital Audio Tour guide yang berlangsung di Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan, disempurnakan bersama oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir pada majlis itu ialah duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi negara-negara sahabat, ahli-ahli Lembaga Pelancongan, pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan KSSUP serta pengurusan Dynamik Technologies.

    ebode merupakan sepasukan pencipta kandungan di bawah Dynamik Technolgies, menyediakan kandungan bagi pelancongan Brunei menggunakan sebuah aplikasi yang dikenali sebagai izi.TRAVEL.

    Aplikasi itu membolehkan pengguna untuk mengakses pelancongan atau lawatan secara maya dari keselesaan rumah mereka atau bertindak sebagai pemandu pelancong audio poket mereka tersendiri semasa lawatan ke tempat-tempat menarik.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika melancarkan Digital Audio Tour guide dalam aplikasi izi.TRAVEL.
    Antara tetamu yang hadir pada majlis pelancaran Digital Audio Tour Guide.

    Digital Audio Tour Guide itu bermatlamat untuk mempromosikan budaya, mercu tanda dan sejarah tempatan Brunei kepada pelancong-pelancong tempatan dan antarabangsa
    dengan sokongan daripada KSSUP dan KKBS.

    Para pelancong boleh meneroka Brunei mengikut kadar mereka sendiri dengan pengalaman pembelajaran yang mesra pengguna, mengasyikkan dan moden mengenai tarikan kebudayaan dan sejarah signifikan Negara Brunei Darussalam.

    Pelbagai pihak yang berkepentingan pelbagai jabatan telah memberikan sumbangan yang penting untuk memastikan kandungan bagi pelancongan berkenaan adalah diiktiraf, konsisten dan boleh dipercayai.

    Selain daripada itu, ia juga mengandungi aktiviti-aktiviti interaktif melalui kuiz dan aktiviti pencarian serta juga foto artifak, audio dan video.

    Pada masa ini, lawatan atau tour itu boleh didapati dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Mandarin, Korea dan Jepun di mana ia akan membantu pelawat-pelawat antarabangsa dan mereka yang berkelainan upaya penglihatan atau pendengaran supaya mereka dapat mendengar atau membaca maklumat-maklumat yang ada.

    Digital Audio Tour Guide itu boleh dilayari di mana sahaja dan bila-bila masa menggunakan aplikasi percuma, izi.TRAVEL yang boleh didapatkan di App Store dan Google Play Store.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...