Pelancongan pulau kapas kembali ‘bernafas’

MARANG – Langkah kerajaan menggalakkan pelancongan domestik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) nyata memberi 1,001 rahmat kepada pemain industri pelancongan di Terengganu terutama di kawasan pulau peranginan.

Manakan tidak, kedatangan pelancong meningkat mendadak selepas sekian lama ‘berkurung’ di rumah dan PKPP bagaikan memberi ‘talian hayat’ untuk pemain industri pelancongan kembali ‘bernafas’ dan menjalankan perniagaan seperti biasa.

Tinjauan media di Pulau Kapas baru-baru ini mendapati, rata-rata pelancong dan pengusaha chalet mengakui telah berlaku peningkatan pelancong sehingga 50 peratus berbanding cuti persekolahan biasa seperti tahun sebelumnya.

Pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd Rahman berkata kadar tempahan bilik sangat memberangsangkan apabila tempahan untuk hujung minggu telah penuh sehingga PKPP berakhir 31 Ogos nanti.

“Kami mempunyai masa hanya empat bulan lagi untuk beroperasi sebelum Pulau Kapas ditutup kepada pelancong bermula November hingga Februari tahun hadapan berikutan musim tengkujuh.

Pelancong tempatan mengambil kesempatan untuk beriadah bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati keindahan laut di Pulau Kapas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – Bernama
Pelancong tempatan tidak melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti ‘snorkeling’ bagi melihat keindahan terumbu karang serta ikan di Pulau Kapas. – Bernama

“Ketika PKP bermula pada 18 Mac lepas, memang saya bimbang bagaimana perniagaan hendak bertahan namun kini saya agak lega kerana peningkatan jumlah pelancong ketika ini sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit kerugian yang dialami ketika PKP lepas,” katanya yang berharap kerajaan pusat dan kerajaan negeri terus mempromosikan sektor pelancongan domestik dan inisiatif baharu secara berterusan demi kelangsungan hidup usahawan.

Keistimewaan Pulau Kapas terletak pada jaraknya yang dekat dengan tanah besar iaitu hanya 10 hingga 15 minit masa perjalanan menyebabkan ia menjadi pilihan utama pelancong berbanding pulau peranginan lain.

Selain itu, kos percutian di pulau itu juga agak rendah dan berbaloi kerana keindahan Pulau Kapas setanding dengan pulau lain dari segi kejernihan air, keindahan terumbu karang dan kepelbagaian spesies hidupan marinnya.

Bagi peniaga jus buah-buahan, Shah Fakhrul Lutffi, 25, beliau gembira dengan peningkatan mendadak pelancong ke pulau itu dan mengakui pendapatan sepanjang PKPP telah dapat menampung kerugian dialami sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya memang tak menang tangan melayan pelanggan terutama pada hujung minggu. Peningkatan ini antara lainnya disebabkan ramai pengusaha resort, chalet dan bot yang memperkenalkan pakej ‘day trip’ ke pulau ini.

“Ia lebih mudah dan murah. Kebanyakan yang saya tanya juga mengakui memilih Pulau Kapas kerana mahu menghirup udara segar di luar setelah terperap berbulan di rumah susulan PKP,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak sembilan tahun lepas.

Sementara itu, seorang pelancong Fareiz Adzmi, 28, berkata beliau memilih datang ke Terengganu untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan bercuti ke Pulau Kapas dengan pakej ‘day trip’ kerana ia lebih santai dan menjimatkan.

“Ini kali pertama saya ke Pulau Kapas dan berpuas hati dengan keindahannya yang masih terpelihara…walaupun pelancong sangat ramai, namun masih ada ruang yang selesa untuk sesiapa sahaja melakukan aktiviti riadah seperti ‘snorkeling’, mendaki Bukit Singa, berkelah dan barbeku bersama keluarga,” katanya yang datang dari Kota Bharu, Kelantan.

Pendapat sama juga dipersetujui oleh Mohamad Azman Karim, 38, yang datang ke Terengganu kerana mahu memanfaatkan masa bersama keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti di Pulau Kapas untuk kenang-kenangan. – Bernama