Pelancongan Thai mesra Islam

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Warga Negara Brunei Darussalam yang melancong ke Thailand telah membelanjakan sebanyak $930 juta tahun lalu meskipun jumlah pelancong Brunei ke negara itu mencatatkan sedikit penurunan berbanding 2017 tetapi perbelanjaan meningkat sekitar 4.44 peratus.

Statistik daripada pihak berkuasa pelancongan Thailand itu didedahkan oleh Pengurus Pemasaran Pelancongan Thailand, Richard Lim pada Seminar Perubatan anjuran bersama Grace Travel, Pelancongan Thailand dan Hospital Bangkok di Empire Hotel and Country Club, kelmarin.

Pada seminar itu juga, Richard Lim menyatakan bahawa pada tahun 2018, jumlah pelancong antarabangsa ke Thailand mencecah 38.1 juta atau peningkatan sebanyak 7.6 peratus berbanding tahun 2017. Pelancong dari Brunei pada 2018 pula berjumlah 14,246 orang atau 0.9 peratus lebih rendah berbanding tahun 2017.

Ketika menjelaskan beberapa fakta penting tentang pelancongan ke Thailand, Richard Lim berkata, “Thailand merupakan salah satu daripada 10 negara pengeksport makanan terbesar dunia dan merupakan salah satu daripada lima negara pengeksport makanan halal dan bukan alkohol kepada anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Selain terkenal sebagai hab perubatan terkemuka di Asia, masakan Thailand juga merupakan salah satu daripada lima masakan paling popular di dunia,” tambah Richard Lim sambil menggariskan beberapa kunci pelancongan halal untuk tahun 2018.

Dengan orang-orang Islam adalah komuniti kedua terbesar dengan 4.8 juta penduduk di Thailand, negara Gajah Putih itu merupakan destinasi pelancongan mesra Islam dan destinasi kedua paling popular bagi negara-negara bukan OIC.

Selain makanan halal yang mudah didapati di bandar-bandar utama, 3,600 buah masjid, 600 buah sekolah Islam di seluruh Thailand juga merupakan antara beberapa kemudahan yang menarik minat pelancong Muslim.

Menurut Richard Lim lagi, pihak berkuasa Pelancongan Thailand telah memperkenalkan konsep baharu ‘Open to New Shade of Thailand’ dengan objektif untuk memperkenalkan pengalaman unik tempatan Thailand kepada pelancong asing.

Usaha berkenaan dilancarkan bagi memberikan pengalaman yang mendalam tentang pelancongan Thailand, mengembangkan perniagaan para peserta akar umbi sektor pelancongan dan meningkatkan imej negara sebagai bumi yang penuh dengan kepelbagaian hebat untuk diteroka dengan lebih mendalam oleh para pengunjung.

Richard Lim ketika menyampaikan ucapan pada seminar di Empire Hotel and Country Club, kelmarin.