Pelanggan Baiduri terima hadiah menarik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Chan Chiu Liang yang diwakili oleh anak perempuannya, Han Rou membawa pulang hadiah utama berupa 250,000 Royal Skies Miles dalam Kempen Promosi Cabutan Bertuah Dua Bulan Sekali bersempena Ulang Tahun ke-25 Bank Baiduri semasa majlis penyampaian hadiah cabutan kedua kempen promosi yang berlangsung di One Riverside, hari ini.

Sementara itu, Dayang Siti Nabila Wahayu binti Mohamad membawa pulang baucar perjalanan (travel voucher) bernilai $1,000 dan tiga orang pemenang bertuah lain iaitu Lim Wee Shen, Dayangku Effa Hayatul Majida binti Pengiran Mohin dan Dayang Diyana binti Abdullah masing-masing membawa pulang hadiah berupa baucar perjalanan bernilai $500.

Hadir untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang bertuah di majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Bahagian Perniagaan Kad, Lim Kian Chiong, pegawai-pegawai dan kakitangan Bank Baiduri serta ahli keluarga para pemenang cabutan berkenaan.

Semasa kempen promosi berkenaan yang berlangsung dari 17 Ogos 2019 hingga 29 Februari 2020, mereka yang mendaftar bagi produk-produk terpilih Bank Baiduri berpeluang untuk memenangi hadiah menarik dalam cabutan bertuah.

Para pemenang bertuah berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik termasuk kereta baharu, BMW 5-Series, pakej percutian untuk dua orang ke Maldives atau pengalaman makan malam eksklusif bespoke 8-course, pakej percutian ke Hokkaido, Sydney dan Brisbane bagi keluarga seramai empat orang.

Pengiran Azaleen dan Lim Kian Chiong bergambar ramai bersama para pemenang bertuah bagi cabutan kedua kempen promosi berkenaan.