Pelanggan bertuah bawa pulang hadiah menarik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Seramai 11 orang pelanggan bertuah membawa pulang hadiah-hadiah menarik dalam majlis cabutan bagi Kempen Promosi ‘Beli dan Menang’ dan ‘Uji Pandu dan Menang’ anjuran Indera Motors Sdn Bhd yang berlangsung di bilik pamerannya di Beribi, hari ini.

Kempen yang diadakan selama tiga bulan bermula April hingga Jun itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan tetapi hanya 11 orang pelanggan daripada kedua-dua kempen berkenaan telah terpilih untuk memenangi hadiah.

Majlis menyaksikan, Awang Mohammad Adzari bin Mohd Jaafar memenangi hadiah utama bagi Promosi ‘Beli dan Menang’, berupa wang tunai berjumlah $11,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Indera Motors Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.

Manakala itu, tempat kedua dimenangi oleh Datin Hajah Jauyah binti Mohammad Daud yang membawa pulang $5,000 dan Awang Reduan bin Assan di tempat ketiga membawa pulang $3,000.

Hadiah-hadiah bagi pemenang berkenaan disampaikan oleh Pengurus Besar Indera Motors Sdn Bhd, Alfred Yong Foh Sen.

Pengarah Urusan Indera Motors Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris ketika menyampaikan hadiah kepada Awang Mohammad Adzari bin Mohd Jaafar (kiri) yang memenangi hadiah utama bernilai $11,000 dalam cabutan bertuah Kempen Promosi ‘Beli dan Menang’ dan ‘Uji Pandu dan Menang’ anjuran Indera Motors Sdn Bhd.
YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar bergambar ramai bersama para pemenang Promosi ‘Beli dan Menang’ anjuran Indera Motors Sdn Bhd.

Sementara itu, bagi Kempen Uji Pandu dan Menang, Dayang Nur Liyana Damit membawa pulang Samsung Galaxy S20, Hajah Diana binti A Haji Ghani memenangi GoPro Hero8, sementara itu, Awang Zamir bin Norariffin @ Niga membawa pulang B&O H4 Wireless Headset.

Lima orang lagi pelanggan bertuah membawa pulang hadiah sagu hati sumbangan Indera Motors Sdn Bhd.

Awang Mohammad Adzari semasa ditemui Media Permata, melahirkan perasaan sangat bersyukur kerana terpilih sebagai pemenang utama dalam kempen cabutan bertuah ‘Beli dan Menang’.

“Saya tidak menyangka akan menjadi salah seorang pemenang bertuah hari ini. Sebelum ini saya tidak pernah memenangi mana-mana kempen cabutan bertuah dan hari ini merupakan kali yang pertama memenangi hadiah,” ujarnya.

Beliau turut mengongsikan bahawa sebahagian wang yang dimenangi akan dikongsikan bersama keluarga dan juga akan menyumbangkan sebahagian daripadanya ke Tabung Dana COVID-19 bagi membantu petugas-petugas di barisan hadapan dan lain-lain.