Pelanggan bertuah menang kereta

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Dayang Norhaini binti A Haji Murni berjaya memilih kunci yang membawa tuah kepadanya untuk memenangi sebuah kereta dalam Kempen Let’s Celebrate 26 sempena Sambutan Ulang Tahun Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd ke-26 tahun.

Ketika ditemui pada majlis cabutan utama yang berlangsung di Atrium, Airport Mall, hari ini, Dayang Norhaini melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka akan berpe-luang mendapat hadiah sebesar itu.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang utama ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

Majlis turut menyaksikan sembilan pemenang lain pulang dengan pelbagai hadiah menarik antaranya wang tunai, baucar membeli-belah dan komputer riba dan juga telefon bimbit.

Para pemenang telah mengikuti produk-produk Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd (IITGT) dan Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd (IITFT) yang telah dipromosikan iaitu Takaful Kenderaan Bermotor Komprehensif (persendirian), Takaful Pemilik Rumah dan Takaful Gadai Janji bagi sewa beli.

Kempen berkenaan telah bermula pada awal April 2019 dan berakhir pada penghujung Mac lalu di mana 70 hadiah telah diberikan kepada para pemenang bertuah sepanjang kempen berjalan.

Majlis cabutan utama tersebut turut dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengarah, jawatankuasa penasihat syariah, pengarah urusan dan pengurusan kanan Insurans Islam Taib Holdings Sdn Bhd, Perbadanan TAIB dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyampaikan hadiah utama kepada Dayang Norhaini binti A Haji Murni sempena Kempen ‘Let’s Celebrate 26’ Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd.
Salah seorang pemenang bertuah menerima hadiah pada majlis itu.
Antara yang hadir pada majlis penyampaian hadiah bagi Kempen Let’s Celebrate 26 yang berlangsung di Atrium, Airport Mall, kelmarin.