Pelanggan McDonald’s wajib pakai penutup mulut dan hidung

NEW YORK, 26 JULAI – McDonald’s berkata ia akan mewajibkan pelanggan memakai penutup mulut dan hidung apabila memasuki restorannya di Amerika Syarikat (AS) tatkala kes virusnya terus meningkat di kebanyakan negeri.

Tindakan itu, diumumkan pada Jumaat, akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos.

McDonald’s Corp menyertai beberapa syarikat yang mengeluarkan mandat penutup mulut dan hidung untuk pelanggannya pada minggu lalu, termasuk Walmart, Target dan Kohl’s. Starbucks juga baru-baru ini mengeluarkan arahan pemakaian penutup mulut dan hidung untuk pelanggan yang mengunjungi lokasi milik syarikatnya di AS.

McDonald’s di Chicago berkata 82 peratus daripada restorannya terletak di negeri atau kawasan yang mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung untuk pekerja dan pelanggan. Namun ia berkata ‘adalah penting untuk melindungi keselamatan semua pekerja dan pelanggan,” menurut satu kenyataan bersama dari Presiden McDonald’s AS Joe Erlinger dan Mark Salebra, pengerusi Gabungan Kepimpinan Francais Nasional.

Erlinger dan Salebra juga berkata dalam kes di mana pelanggan enggan memakai penutup mulut dan hidung, ia akan ‘meletakkan prosedur tambahan untuk mengendali mereka dalam cara yang lebih lembut dan cepat.’

McDonald’s berkata ia akan menangguh pembukaan semula restorannya untuk 30 hari lagi. Ia juga menambah panel perlindungan di belakang dan depan restoran untuk membantu penjarakan sosial. – AP

Gambar fail menunjukkan logo McDonald’s dipamerkan di depan restoran makanan segera di Wheeling, Illinois. McDonald’s mewajibkan pelanggan memakai penutup mulut dan hidung apabila memasuki restorannya di Amerika Syarikat mulai 1 Ogos ini. – AP