Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    Pelanggan mengamuk, tikam dua pekerja muzium MoMA

    NEW YORK, 13 MAC – Dua pekerja wanita ditikam dalam muzium terkenal New York, Museum of Modern Art (MoMA), kelmarin, dipercayai dilakukan oleh seorang pelanggan yang berang, kata polis, menyebabkan muzium itu dikosongkan.

    Wanita berkenaan cedera ‘di belakang, tulang selangka, di belakang leher’ namun kedua-duanya ‘akan selamat’, kata John Miller, timbalan pesuruhjaya perisikan dan pencegahan jenayah di Jabatan Polis New York.

    Suspek yang belum lagi ditangkap lewat petang semalam, dikenali sebagai pelanggan tetap ke MoMa, yang kad keahliannya telah mansuh selepas ‘dua insiden melibatkan perbuatan tidak senonoh’ dalam masa beberapa hari, kata Miller.

    Kelmarin, apabila lelaki itu tidak dibenarkan masuk, “dia merasa kecewa…kemudian melompat ke meja penyambut tetamu dan melakukan serangan serta menikam dua pekerja muzium itu beberapa kali,” tambah Miller.

    Kedua-duanya kemudian dikejarkan ke hospital susulan serangan itu, yang berlaku sekitar 4:15 petang.

    Polis meletakkan pita sekatan di sekitar muzium berkenaan dan menutup operasinya kelmarin.

    Pelbagai berita, serta hantaran di sosial media menunjukkan imej-imej orang ramai berdiri di luar muzium, sebuah destinasi pelancong yang popular, setelah ia ditutup. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...