Pelanggan perlu jelaskan transaksi mencurigakan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Industri perbankan pada masa ini adalah berbeza daripada dahulu di mana dengan peraturan-peraturan yang baharu, bank akan sentiasa memerhati jika terdapat transaksi yang mencurigakan kerana ia merupakan sebahagian daripada peraturan baharu yang harus dipatuhi oleh pihak bank.

Jika pihak bank melihat terdapat transaksi yang mencurigakan tanpa mempunyai bukti kukuh mengenai sumber wang yang masuk dan keluar dari sesebuah akaun itu, bank-bank adalah berhak untuk bertanya mendapatkan maklumat mengenai transaksi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menerangkan perkara itu, hari ini, ketika menjawab persoalan mengenai pemilik akaun bank yang ditanya mengenai transaksi pada akaun mereka oleh pihak bank.

Beliau menerangkan lanjut, terdapat juga pelanggan yang tidak memberikan penerangan dan ada juga yang tidak hadir ke bank untuk memberikan penerangan bagi kecurigaan pada akaun mereka.

Oleh itu, satu cara bagi bank untuk mengambil tindakan adalah dengan menyekat akaun itu dan setelah tindakan berkenaan diambil barulah pemilik akaun hadir untuk mengemukakan penerangan.

Jika penerangan yang diberikan memuaskan, akaun itu boleh diaktifkan semula tetapi jika tidak ada penerangan yang tepat, ia mencurigakan dan tidak memenuhi syarat atau patuh, akaun berkenaan tidak lagi dapat diteruskan.

“Ia bukannya hanya dilaksanakan semasa penularan COVID-19 tetapi ia merupakan satu peraturan yang dipraktikan,” ujar Yang Berhormat Dato.

Oleh itu, beliau berharap orang ramai akan memahami akan keperluan berkenaan dan menyeru semua pihak untuk sama-sama menjaga integriti sistem kewangan negara.

Sementara itu, mengulas mengenai orang ramai digalakkan menggunakan transaksi tanpa wang tunai dan caj yang dikenakan kepada peniaga, Yang Berhormat Dato, menerangkan bahawa caj berkenaan adalah tidak dikecualikan di mana caj yang dikenakan adalah kira-kira 2 peratus yang dikenakan pada para peniaga dan bukannya pada pelanggan.

Di samping itu, transaksi berkenaan turut diberikan mata ganjaran yang dapat ditebus bagi menggalakkan lebih ramai orang ramai menggunakan transaksi tanpa wang tunai, pembayaran digital dan elektronik.

Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa pelbagai kaedah pembayaran tanpa wang tunai diperkenalkan oleh pelbagai pihak seperti dompet digital dan bukan sahaja dilaksanakan oleh pihak bank.

Semua ini, jelasnya lagi, adalah kaedah untuk memudahkan pengguna untuk menggunakan pembayaran elektronik serta untuk mengurangkan penggunaan wang tunai dalam urusan
harian.