Pelanggan SESB bakal nikmati rebat ke atas wang cagaran

KOTA KINABALU, 11 Jan – Hampir 600,000 pengguna elektrik yang berdaftar dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di seluruh negeri dan Labuan akan menikmati rebat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah wang cagaran tunai mereka yang dikira mengikut kadar pro-rata.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB Chendramata Sinteh berkata rebat itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna pada bulan Januari setiap tahun.

“Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan selaras dengan peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.

Wang cagaran ini dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chendramata turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding wang cagaran sedia ada.

Walau bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka, katanya.

“Jika pengguna gagal untuk membayar wang cagaran atau penambahan wang cagaran seperti yang ditetapkan, SESB boleh memotong bekalan di premis pengguna berkenaan.

Wang cagaran ini boleh dikurangkan sendiri oleh pengguna melalui amalan cekap tenaga dan penjimatan penggunaan elektrik,” katanya.

Chendramata berkata untuk penerangan lebih terperinci, pengguna boleh datang sendiri ke cawangan SESB berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15454 atau 088-515000. – Bernama