Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Radio Brunei telah meraikan ulang tahun ke-21 Pelangi FM pada majlis sambutan yang diadakan di Wayback Burgers cawangan Giant Rimba, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang dikendalikan dengan kerjasama Wayback Burgers itu ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.
Majlis yang berkenaan juga merupakan salah satu aktiviti bersempena de-ngan 60 tahun penubuhan Radio Brunei yang jatuh pada 2 Mei 2017.
Selain itu, ia juga adalah sebagai platform untuk terus menggerakkan dan mengembangkan lagi peranan Radio Brunei sebagai lidah kerajaan yang menyambung kesinambungan kemajuan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara, serta mendekatkan lagi hubungan warga radio dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta dengan menekankan aspek-aspek serta nilai-nilai sosial, budaya dan sebagainya.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Rancangan Radio, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud.
Pelbagai aktiviti telah diadakan di majlis berkenaan bagi memeriahkan sambutan antaranya persembahan nyanyian Ukelele, Pertandingan Makan Burger, melukis muka, Pertandingan Mewarna dan cabutan bertuah.


Penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan dan cabutan berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei dan Pengarah Urusan Wayback Burgers, John T Burgos.
Rangkaian Pelangi mula melancarkan siaran percubaannya pada 23 Februari 1995, dengan hanya menggunakan nama 91.4 FM, bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-11.
Pada mulanya, siaran rangkaian berkenaan hanya ke udara mulai jam 8:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 4:30 petang setiap hari dalam lingkungan lapan ke sembilan kilometer sahaja.
Pada 1 Januari 2001, Rangkaian Pelangi ke udara 24 jam pada setiap hujung minggu dan 24 jam sehari dengan menggunakan ‘automation’ pada hari-hari lainnya mulai 2 Mei 2005 iaitu bersempena dengan ulang tahun Perkhidmatan Radio Brunei ke-48 tahun.
Rangkaian Pelangi berkonsepkan 80 peratus infotainment iaitu menghibur sambil memberi informasi dengan menghidangkan lagu-lagu dalam Bahasa Melayu dan Inggeris termasuk lagu-lagu antarabangsa.
Pemilihan lagu-lagu yang disiarkan adalah lagu-lagu tahun 2000 ke atas dengan sasaran pendengar (target audience) ialah remaja dan belia yang berumur 12 ke 35 tahun. Tetapi menurut hasil kajian, para pendengar ramai juga dari kalangan yang berumur 40 tahun ke atas.
































